Dikhabarkan bakal ke Melaka FC, Guilherme de Paula mampu kembalikan ‘sengat’ di Liga M3

430

Masa depan Guilherme De Paula selepas berakhir Piala Malaysia pada musim lepas kelihatan samar selepas beliau gagal mendapatkan minit permainan yang lebih banyak bersama pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan banyak bermain bersama pasukan JDT II.

Beliau hanya meraih 5 penampilan tanpa menjaringkan sebarang gol bersama skuad Harimau Selatan selepas menyertai pasukan itu sejak Mei 2021.


Malah, beliau juga tidak mengikuti pasukan ke jelajah pra-musim perlawanan persahabatan di Dubai menandakan beliau tidak akan mendapat tempat di dalam kesebelasan utama pada musim ini.

Namun, penyerang berusia 37 tahun itu dikhabarkan akan menyertai Melaka FC yang bermain di Liga M3 untuk musim 2023.

Khabar angin itu semakin kencang selepas Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA), Datuk Nur Azmi Ahmad memberi kenyataan di dalam sesi wawancara bersama media.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sudi memberi peluang kepada pemain tersebut untuk dipinjamkan ke Melaka namun beliau memilih untuk merahsiakan siapakah gerangan pemain tersebut terlebih dahulu memandangkan perpindahan pemain tersebut belum dimuktamadkan secara rasmi.

Tetapi sekiranya De Paula menjadi pemain yang berpindah ke Melaka, pastinya ia membawa petanda positif memandangkan beliau mempunyai pengalaman luas bersama beberapa pasukan yang bermain di Liga Super sebelum ini.

Untuk pengetahuan, De Paula telah bermain bersama Selangor FC, PDRM FC, Kuala Lumpur FC, Perak FC dan JDT sepanjang berada di Malaysia dan merekodkan 21 gol selepas 50 penampilan di Liga Super.

Dengan kehadiran De Paula, khidmatnya pasti ditagih dan boleh menggunakan beliau untuk meningkatkan prestasi pasukan dan menaikkan semangat pasukan sekiranya beliau berjaya merobek gawang gol lawan di dalam perlawanan liga.

Berkemungkinan Melaka boleh dinaikkan pangkat ke liga divisyen utama Liga Super pada musim akan datang sekiranya De Paula boleh melaksanakan tugas sebagai penyerang berbisa untuk pasukan Melaka.

Sekiranya De Paula menyertai pasukan Melaka, ia pastinya menambah sengat di bahagian serangan dan pengalaman beliau bersama pasukan-pasukan sebelum ini akan digunakan sebaiknya untuk membantu Melaka berada di kedudukan terbaik liga pada musim ini.