Adakah pemain yang dipinjamkan JDT sangat hebat sehingga tidak dibenarkan turun menentang kelab asal?
Pada musim ini, Johor Darul Ta’zim FC (JDT) telah meminjamkan sembilan pemain mereka kepada pasukan yang bermain di liga Thailand dan di Liga Malaysia.
Antara pemain yang dipinjamkan oleh JDT adalah Moussa Sidibe dan Safawi Rasid ke Ratchaburi FC yang berpangkalan di Thailand, Liridon Krasniqi yang bermain bersama pasukan Terengganu FC, Levy Madinda bermain untuk pasukan Negeri Sembilan FC dan Daniel Ting bersama pasukan Sabah pada musim ini.
Manakala tiga pemain JDT iaitu Fadhli Shas, Izham Tarmizi dan Azrif Nasrulhaq dipinjamkan ke Sri Pahang untuk mengharungi musim 2023.
Dengan pinjaman pemain yang telah diberikan JDT kepada pasukan lain mampu memberikan tambah nilai kepada pasukan yang bertanding sama ada di Liga Malaysia atau di Liga Thailand dan mampu mengembalikan prestasi pemain yang merudum sebelum ini.
Namun persoalan yang bermain di minda segelintir peminat apabila pemain yang dipinjamkan tidak boleh bermain sekiranya menentang pasukan JDT.
Umum mengetahui bahawa bayaran gaji kepada pemain adalah mahal dan tidak semua kelab yang mampu membayar gaji sepertimana JDT lakukan dan disebabkan itulah JDT mungkin membayar gaji pemain yang dipinjam melalui ‘sharing basis’ iaitu pembayaran 50/50 atau 40/60 oleh kelab peminjam dan kelab yang dipinjamkan.
Namun salah satu syarat adalah pemain yang dipinjamkan tidak boleh bermain menentang kelab mereka sendiri iaitu JDT.
Ini menimbulkan persoalan kerana ianya tidak bagus sekiranya salah seorang pemain yang dipinjam merupakan pemain tonggak untuk pasukan dan mampu menjejaskan mutu permainan pasukan itu.
Seperti kita ketahui, persaingan di JDT amatlah hebat malah setiap pemain tidak akan merasa selamat sekiranya prestasi jatuh kerana mampu digantikan oleh pemain lain pada bila-bila masa.
Kerana itulah setiap pemain yang dipinjamkan oleh JDT bukanlah pemain yang biasa atau pemain yang tidak boleh memberikan manfaat kepada kelab yang dipinjamkan.
Malah pemain JDT yang dipinjamkan mempunyai kualiti yang lebih baik daripada pemain import sesetengah pasukan.
Terdahulu, pasukan Terengganu tidak dapat menggunakan khidmat Liridon Krasniqi kerana perlu mematuhi kontrak yang telah dimeterai oleh kedua-dua pasukan itu.
Ini pastinya menjejaskan percaturan yang akan dilakukan oleh ketua jurulatih Terengganu, Tomislav Steinbrucker untuk menghadapi cabaran skuad Harimau Selatan dalam perlawanan Sumbangsih yang diadakan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) 24 Februari ini.
Dengan pinjaman pemain JDT kepada pasukan lain merupakan usaha yang baik dan mendapat kelebihan daripada kelab dan pemain, namun alangkah ruginya sekiranya pemain tersebut tidak dapat bermain sekiranya menentang JDT dalam usaha memberi saingan kepada pasukan yang meraih trofi Liga Super sembilan kali beturut-turut itu.