Sudah tentu saya mahu senaraikan pemain terbaik, tetapi mereka ada tanggungjawab kepada kelab – E Elavarasan

225

Ketua jurulatih B-23 kebangsaan, E Elavarasan mengakui prestasi pasukan akan terkesan sekiranya beliau tidak mendapatkan pemain-pemain terbaik untuk dibawa mengharungi kejohanan.

Katanya, sebagai jurulatih beliau pastinya berharap mampu mengumpulkan pemain-pemain terbaik tetapi faham sekiranya pemain yang dikehendaki tidak dilepaskan kelab.


“Kita tahu pemain ada tanggungjawab terhadap kontraknya bersama kelab, buat masa ini ia bergantung kepada siapa pemain yang kami panggil ketika bukan FIFA Days.

Disebabkan itulah kita perlukan lebih banyak pilihan pemain, dan kita dah bermula untuk perbanyakkan lagi pilihan dengan memanggil muka-muka baharu dan nilai prestasi mereka,”

katanya.

Sementara itu, beliau berkata bahawa sasaran untuk Sukan SEA pada tahun ini adalah mara ke peringkat akhir.

Katanya, dengan barisan kejurulatihan dan gaya permainan baharu, sudah tentu harapan peminat lebih tinggi pada kali ini.

“Sukan SEA tahun lalu kita tamatkan saingan di tangga keempat, sudah tentu jangkaan tahun ini lebih tinggi.

Penting untuk kita sampai ke perlawanan akhir, kita perlu ada sasaran begini supaya pemain mempunyai lebih motivasi.”

Dalam pada itu, Elavarasan berkata bahawa pihaknya sentiasa memantau pemain-pemain warisan yang berada di luar negara seperti Richard Chin untuk dibawa beraksi di kejohanan tertentu.

Selain itu, beliau juga berkata sentiasa berhubung dengan kelab Luqman Hakim, Njardvik untuk melepaskan pemain itu dalam kejohanan tertentu.