Boleh saja hantar skuad B-19 ke Sukan Asia, tetapi jika persembahan tak bagus mesti kena kecam – Scott O’Donell

736

Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Scott O’Donell mempertahankan keputusan badan induk itu untuk tidak menghantar pasukan ke Sukan Asia dengan menyifatkan masa yang tidak sesuai menjadi faktor utama.

Menurutnya, mereka juga tidak boleh menghantar pasukan B-19 ke kejohanan itu kerana tidak adil bagi para pemain serta jurulatih bermain dengan lawan di tahap yang lebih tinggi.


“Kita putuskan untuk tidak hantar pasukan ke Sukan Asia kerana faktor masa, ia dijalankan selepas kelayakan kejohanan AFC B-23.

Ada juga yang memberi cadangan supaya menghantar pasukan B-19 tetapi jika mereka tidak menunjukkan prestasi yang baik sudah tentu akan dikecam, kita tidak mahu letakkan mereka dalam situasi di mana mereka bersaing bukan di dalam kelas sendiri,”

katanya.

Katanya, menghantar skuad B-19 ke kejohanan itu akan membawa lebih banyak keburukan daripada manfaat.

Menurut O’Donell, mereka juga harus menghormati kelab yang membayar gaji pemain, justeru tidak boleh sewenang-wenangnya meminta mereka melepaskan pemain untuk semua kejohanan.

“Jadual tahun ini memang padat, ada tiga kejohanan untuk skuad B-23 selain saingan liga jadi kita kena pastikan mereka tidak main berlebihan kerana akan menyebabkan risiko kecederaan.

Kita perlu ada keseimbangan, dan hormati kelab yang bayar gaji mereka, tak boleh sesuka hati minta kelab lepaskan.”

Menurutnya, bukan Malaysia sahaja yang menghadapi masalah ini tetapi terdapat negara lain yang turut menghadapi dilemma yang sama.

Tambahnya, sekiranya kelayakan AFC B-23 tiada tahun ini, FAM sudah tentu akan menghantar pasukan ke Sukan Asia.