Pemain import JDT juga tak senang duduk, perlu hadapi saingan rakan sepasukan lain
Pemenang trofi Liga Super sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) membawa masuk beberapa pemain baharu untuk memberi saingan yang lebih sengit pada musim 2023.
Malah, trofi Liga Super dijangka akan terus menjadi milik mereka pada musim ini dengan beberapa kehadiran pemain import baru dan mengekalkan sejumlah besar pemain import yang beraksi cemerlang pada musim lepas.
Bergson da Silva, Fernando Forestieri, Shane Lowry, Leandro Velazquez dan Jordi Amat antara import yang dikekalkan selepas mempamerkan aksi yang cukup konsisten pada musim 2022.
Manakala Juan Muniz, Endrick, Oscar Arribas dan Diogo Luis Santo yang pulang semula selepas tamat kontrak bersama pasukan BG Panthum United yang berpangkalan di Thailand.
Melihat kepada prestasi pemain import yang kekal serta penambahan beberapa muka baru pastinya kesebelasan utama pada musim ini tidak mudah dan akan menjadi lebih sengit untuk setiap pemain.
Penyerang sensasi iaitu Bergson mempunyai rekod yang sangat cemerlang bersama JDT pada musim 2022 selepas meledak 41 gol daripada 31 perlawanan bersama pasukan Harimau Selatan.
Malah rekod jaringan beliau tersenarai sebagai 5 pemain yang menjaringkan gol paling banyak di dunia sebaris penyerang terkenal seperti Kyllian Mbappe, Erling Haaland dan Robert Lewandowski.
Dengan konsistensi dan ketajamannya di hadapan gawang, beliau dijangka akan terus mengemudi pasukan untuk melakar rekod yang lebih baik musim ini, namun kemasukan Diogo akan memberi sedikit cabaran kepada beliau untuk terus memperbaiki prestasi ke arah yang lebih baik.
Seterusnya pemain yang bermain di bahagian sayap dan penyerang nombor dua iaitu Fernando Forestieri telah menjaringkan 25 gol dan 12 bantuan gol dalam 37 penampilan selepas membentuk gandingan mantap bersama Bergson dan Arif Aiman Hanapi pada musim lepas.
Namun beliau perlu menghadapi saingan Oscar Arribas yang dibawa masuk dan cabaran sengit akan berlaku untuk mengekalkan tempat di dalam kesebelasan utama.
Untuk jentera tengah pasukan, Leandro Velazquez bersama Natxo Insa membentuk gandingan yang sempurna dan mempamerkan corak permainan yang berkualiti serta telah menjaringkan 25 gol dan 20 bantuan gol dalam 81 penampilan.
Namun kehadiran Endrick dan Juan Muniz akan menyaksikan perebutan sebagai pemain tengah akan menjadi kian mencabar pada musim ini.
Bekas pemain Sepanyol B-19 tahun, Juan Muniz dijangka membuat penggiliran bersama Leandro memandangkan beliau mempunyai permainan yang hampir sama dan memiliki kepakaran untuk mengambil sepakan percuma.
Di bahagian pertahanan, Shane Lowry dan Jordi Amat menunjukkan kualiti yang tersendiri dan tidak mempunyai masalah sekiranya perlu bergandingan dengan pemain tempatan.
Musim lalu, JDT hanya bolos 12 gol daripada 22 perlawanan di Liga Super 2022 dan dijangka akan menjadi igauan buat penyerang pasukan lawan.
Untuk musim 2023, Malaysia League Football (MFL) telah menambah kuota import setiap pasukan kepada 9 pemain import namun hanya membenarkan 5 pemain import ( 3 + 1(Asia) + 1(Asean)) di atas padang dan satu pemain import tambahan akan berada di bangku simpanan dan boleh bermain sekiranya terdapat pertukaran pemain di dalam padang.
Dijangka Bergson, Forestieri, Juan Muniz, Jordi Amat dan Shane Lowry akan membarisi kesebelasan utama pasukan JDT musim 2023 namun tetap berwaspada kerana pemain import yang lain kekal bersedia sekiranya salah seorang pemain menunjukkan prestasi yang kurang memberangsangkan.
Walaupun persaingan di JDT sangat sengit, namun ianya merupakan persaingan yang sihat untuk memastikan setiap pemain memberi komitmen 100 peratus dan sentiasa berada di tahap tertinggi ketika menyarung jersi Harimau Selatan di atas padang.