JDT akan buat majlis khas untuk Safee Sali, mungkin lepas ini Selangor pula?

512

Bekas penyerang bola sepak negara, Mohd Safee Mohd Sali akhirnya sah menggantung but dan secara rasmi bersara daripada arena bola sepak Malaysia selepas mengadakan majlis persaraan beliau di Sofitel KL Damansara.

Beliau yang kini sudah berusia 39 tahun akhirnya membuat keputusan untuk bersara selepas mengambil kira pelbagai faktor seperti prestasi dan umur yang semakin lanjut serta perancangan untuk masa hadapan.


Dengan itu, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris akan mengadakan satu majlis khas untuk persaraan beliau di Stadium Sultan Ismail (SSI) sebagai menghargai jasa dan sumbangan beliau ketika bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).

Terdahulu, beliau yang pernah menyarung jersi JDT dari tahun 2013 sehingga 2017 berjaya menjaringkan 23 gol dalam kesemua kejohanan dan berjaya menjulang Piala AFC pada tahun 2015 bersama pasukan Harimau Selatan serta menjadi kelab pertama di Asean yang memenangi trofi tersebut.

Beliau juga layak untuk diberi penghargaan selepas berjaya membantu Malaysia melakar sejarah menjulang Piala AFF pada tahun 2010 buat pertama kalinya dimana beliau turut memenangi anugerah Penjaring Terbanyak Piala AFF dengan lima gol.

Dalam pada itu, kita juga tidak dapat menafikan bahawa Selangor FC merupakan kelab yang menjadi ‘batu loncatan’ buat Safee dalam karier bola sepaknya sehingga beliau berjaya menjadi penyerang yang cukup sepanjang tempoh empat musim bersama skuad Gergasi Merah itu.

Sepanjang tempoh empat musim iaitu dari tahun 2007 hingga 2011, beliau telah menjaringkan sebanyak 68 gol dalam semua pertandingan.

Safee Sali perlu diberi penghormatan terakhir di atas sumbangan dan jasa yang beliau curahkan bersama pasukan itu ketika itu.

Oleh itu, adakah Selangor akan turut mengikut jejak langkah JDT akan membuat satu majlis khas bagi menghargai bekas penyerang prolifik mereka nanti?

Sementara itu, KL City FC juga boleh melakukan perkara yang sama selepas pasukan yang berpangkalan di Kuala Lumpur itu sebagai destinasi terakhir beliau sebelum bersara di dalam arena bola sepak.

Bersama KL City, beliau hanya menjaringkan satu gol selepas 13 penampilan namun beliau banyak membantu dan mencurahkan ilmu dan pengalaman kepada pemain-pemain muda The City Boys berikutan beliau merupakan pemain paling senior di kelab itu.

Tidak perlu majlis yang besar, namun sekadar majlis kecil atau membuat perlawanan testimonial menentang pemain veteran antara contoh yang boleh dilakukan oleh Selangor dan KL City sebagai membalas pengorbanan Safee ketika menyarung jersi keramat kedua-dua pasukan itu.

Safee tetap akan dikenang sebagai lagenda bola sepak malah 20 tahun perjalanan beliau sebagai pemain bola sepak profesional akan kekal di dalam ingatan para penyokong tempatan sepanjang zaman.