Pembahagian tiket Piala Sumbangsih bukan bawah MFL, penyokong boleh tanya kelab masing-masing – Stuart Ramalingam

1,315

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam menegaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menentukan pembahagian tiket perlawanan Piala Sumbangsih 2023 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim Jumaat ini.

Ini kerana, perlawanan tersebut juga dikira sebagai perlawanan pertama liga dan kuasa adalah di bawah pasukan tuan rumah.


“Ini adalah perlawanan pertama liga, jadi peruntukan tiket adalah seperti perlawanan liga yang biasa.

Mungkin penyokong juga perlu bertanya dengan pasukan masing-masing mengenai peruntukan dan penjualan tiket untuk pasukan away,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta untuk mengulas mengenai rungutan segelintir penyokong Terengganu mengenai peruntukan tiket yang diberikan untuk mereka pada perlawanan itu.

Menurut Stuart, peruntukan tiket untuk perlawanan Piala Sumbangsih bukanlah di bawah MFL, berbeza dengan kejohanan lain seperti Piala FA dan Piala Malaysia.

Dalam pada itu, Stuart berkata bahawa semua pasukan belum melengkapkan lagi pendaftaran pemain menjelang tarikh tutup pada 23 Februari 2023 pukul 11.59 malam.

“Semua pasukan ketika ini masih belum lengkapkan lagi kerana kebiasaannya pada hari terakhir pendaftaran mereka akan muat naik dokumen pendaftaran.

Pada masa ini saya tidak melihat ada isu-isu berbangkit selain daripada dua tiga pasukan yang masih belum menerima IPC untuk pemain mereka, tetapi ia boleh disiapkan dengan satu klik.”

Katanya, setiap pasukan yang bertanding mempunyai pilihan untuk mendaftarkan pemain mengikut kemampuan mereka dan tidak perlu memenuhi kuota 32 pemain maksimum.

Beliau berkata masih ada beberapa perkara yang perlu dilengkapkan oleh pihaknya menjelang sepak mula Liga Malaysia musim ini, dan menjangkakan ia akan disiapkan dalam beberapa hari.