Pemain dan jurulatih Terengganu FC perlu waspada keluarkan kenyataan, elak situasi Nafuzi dan Mickey berulang

561

Pada hujung tahun lalu, Terengganu FC dihimpit kontroversi mengenai pemotongan gaji bekas pemainnya, Faisal Halim atau Mickey yang mendakwa kelab itu memotong gaji terakhirnya tanpa sebarang notis.

Difahamkan, ia berikutan kenyataan yang dikeluarkan pemain itu mengenai status kontraknya yang menjadi tanda tanya menjelang akhir musim, namun akhirnya Terengganu telah membayar jumlah yang dipotong itu.


Bukan saja Faisal, bekas ketua jurulatih, Nafuzi Zain juga dilaporkan dikenakan tindakan tegas gara-gara kenyataan terbuka yang dilakukan kepada media.

Musim ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh telah mengeluarkan ‘amaran’ awal supaya semua jurulatih dan pemain kelab mengikut terma kontrak yang tertulis supaya kemelut seperti musim lalu tidak berlaku lagi.

Menurutnya, jika terdapat isu yang berbangkit, mereka boleh berbincang dengan pihak pengurusan sendiri bagi mencari jalan penyelesaian.

Ini bermakna, pada musim ini mungkin ketua jurulatih baharu, Tomislav Steinbruckner serta anak-anak buahnya akan lebih berhati-hati dalam mengeluarkan apa-apa kenyataan secara terbuka.

Ia bagi mengelakkan perkara yang berlaku kepada Faisal dan Nafuzi berulang kembali yang boleh menjejaskan keharmonian dalam pasukan.

Walaupunbagaimanapun, sebagai majikan, sudah tentu Terengganu berhak meletakkan terma dan syarat dalam kontrak yang dilihat baik untuk pasukan.

Jurulatih dan pemain yang menandatangani kontrak sepatutnya tahu mengenai isi kandungan kontrak, dan sekiranya tidak bersetuju dengan perkara tertentu boleh berbincang dengan pihak kelab sebelum menurunkan tandatangan.

Jangan pula selepas kontrak termeterai terdapat isu berbangkit yang timbul, dan menjejaskan hubungan antara pemain serta jurulatih dan pasukan berkenaan.

Selain itu, ia juga pastinya boleh menjejaskan hubungan dengan penyokong dan menyebabkan penyokong berpecah, denga nada yang menyokong pemain serta jurulatih dan ada pula di pihak kelab.

Justeru pada musim ini, diharapkan isu sama tidak berlaku lagi kepada Terengganu FC, dan pemain serta jurulatih harus lebih mengenai terma yang ada dalam kontrak mereka.