Trio Korea Selatan perkuatkan Perak FC, kisah Jang Jung muncul sebagai motivasi
Persiapan Perak FC pada musim ini kelihatan agak baik dari segi pemain dan juga jumlah perlawanan persahabatan yang telah diadakan sebelum sepak mula Liga Super pada musim 2023.
Sebelum ini, Perak hanya mengambil tiga pemain import sahaja iaitu Christian Obiozor yang bermain sebagai penyerang, Luciano Guaycochea sebagai pemain tengah dan Sunday Afolabi yang bermain sebagai pemain pertahanan tengah.
Bagaimanapun menjelang saingan Liga Super yang bakal membuka tirainya beberapa hari ini, Datuk Lim Teong Kim telah menambah tiga lagi pemain import baru dari Korea Selatan untuk memperkuatkan pasukan.
Tiga pemain tersebut adalah Lee Joo-han (21) yang beraksi di bahagian tengah, Sim Hyun-ki (22) yang bermain sebagai pemain pertahanan manakala Seo Sun-ung akan bermain sebagai penyerang dan memberi cabaran baru kepada Chriatian Obiozor dan Hadi Fayyadh dalam merebut kesebelasan utama pasukan.
Joo-han pernah bermain bersama pasukan divisyen keempat Austria, ATSV Stadl-Paura, Hyun-ki pula bermain bersama pasukan divisyen keempat Korea Selatan, Pyeontaek Citizen manakala Sun-ung datang daripada kelab divisyen kelima Sepanyol, CD Tuilla.
Jika dilihat kepada umur dan pengalaman yang mereka ada, tidak mustahil pembelian ini merupakan pembelian jangka panjang memandangkan Teong Kim dikenali sebagai seorang jurulatih yang gemar menggilap bakat muda.
Malah, pengambilan pemain import dari Korea Selatan membawa kisah nostalgia apabila salah seorang dari pemain import yang berasal dari Korea Selatan bernama Jang Jung pernah bermain untuk pasukan Perak pada tahun 1990 dan menjadi wira yang diingati oleh penyokong Perak pada ketika itu.
Selama dua musim, beliau bermain di bahagian pertahanan serta berjaya menjaringkan enam gol daripada 36 penampilan bersama skuad Seladang.
Beliau juga membantu Perak menjuarai Piala FA pada tahun 1990 selepas melakukan comeback yang mana pada awalnya mereka ketinggalan 2-0, namun bangkit dengan menjaringkan empat gol menewaskan pasukan Selangor.
Perak dan Selangor bertemu sekali lagi di dalam perlawanan akhir Piala FA pada tahun 1991 menyaksikan Selangor berjaya membalas dendam dengan menjuarai Piala FA selepas menewaskan Perak dengan jaringan 1-0.
Beliau juga pernah mewakili pasukan kebangsaan Korea Selatan dan menjaringkan satu gol dalam 20 penampilan bersama Taeguk Warrior.
Diharap pemain-pemain import dari Korea Selatan memberi memberikan aksi terbaik mereka dalam membantu Perak untuk meraih keputusan positif sepanjang musim ini.