Tomislav Steinbruckner akan berpuas hati dengan keputusan seri untuk perlawanan Liga Super, tapi mahu julang Piala Sumbangsih

504

Ketua jurulatih baru Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner akan berpuas hati sekiranya pasukannya membawa pulang satu mata pada perlawanan pertama Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), namun beliau mahu pasukannya julang Piala Sumbangsih.

“Esok kami akan bermain untuk Piala Sumbangsih jadi kami mahukan kemenangan. Tapi bila kita lihat perlawanan esok juga merupakan perlawanan pertama Liga Super, dengan pasukan saya lebih separuh adalah pemain baru jadi saya akan gembira dengan satu mata. Tapi esok lepas perlawanan jika anda tanya saya lagi, mungkin jawapannya lain,”

katanya.

Jelasnya lagi, sekiranya mereka bermain tidak bagus beliau akan gembira dengan keputusan seri, tetapi jika mereka bermain dengan bagus tetapi seri ia merupakan satu perkara yang tidak bagus untuk pasukan.


Terengganu akan menentang juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan Piala Sumbangsih yang juga merupakan perlawanan pertama Liga Super yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada Jumaat (esok).

Steinbruckner juga berkata perlawanan esok merupakan satu perlawanan yang cukup penting buat pasukannya kerana mereka datang untuk mempamerkan kemampuan mereka dan berharap pemain akan berikan aksi terbaik mereka.

Beliau pada masa sama juga tidak dapat menurunkan beberapa pemain utamanya akibat kecederaan iaitu Habib Haroon dan Faiz Nasir yang mengalami kecederaan, manakala Liridon Krasniqi pula tidak dapat diturunkan berikutan pemain itu adalah pemain pinjaman dari JDT.

“Saya sudah mempunyai pengganti untuk ketiga-tiga pemain ini tapi saya tak akan dedahkan lagi buat masa ini. Kami masih perlukan masa untuk membentuk skuad yang lebih ampuh, oleh itu untuk perlawanan esok kami akan cuba sesuatu yang berbeza dari biasa.

Kami perlu ambil risiko untuk bermain secara menyerang jika mahu dapat keputusan positif, jadi saya mahu pemain bermain dengan lebih berkeyakinan.”

Dalam pada itu, kapten skuad Sang Penyu, Shahrul Nizam pula berkata mereka akan cuba mengulangi kejayaan menewaskan JDT di SSI dua tahun lalu dengan mempamerkan aksi menarik pada perlawanan malam esok.

“Kita tahun pada tahun 2021 kita pernah kalahkan JDT di sini (SSI), tetapi kita bermain dalam situasi bertahan dan Alhamdulillah hasil kerja keras dan disiplin kita dapat menang di sini. InsyaAllah kami akan buat yang terbaik untuk julang trofi.”

Shahrul juga mengakui terdapat perbezaan yang cukup ketara dalam corak permainan dan taktikal oleh Steinbruckner dan Nafuzi Zain.

“Memang sangat berbeza dari segi taktikal Nafuzi dan Steinbruckner dan saya boleh katakana perbezaan itu 100%. Pada masa sama kita juga memang terkesan apabila skuad kali ini ramai pemain baru dan untuk bentuk sebuah skuad yang mantap perlukan sedikit masa lagi.”

Beliau turut mengakui mereka berdepan tugas yang cukup besar untuk mengekang asakan daripada barisan serangan JDT, oleh itu beliau menuntut rakan sepasukan untuk bekerja dengan lebih keras dan berdisiplin bagi menutup setiap ruang supaya pihak lawan sukar menembusi barisan pertahanan.