Sony Norde akui barisan pertahanan Terengganu FC masih longgar menjelang Piala Sumbangsih menentang JDT

905

Penyerang Terengganu FC, Sony Norde mengakui masih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk memantapkan pasukannya walaupun mengharungi perlawanan pra-musim yang agak bagus baru-baru ini.

Menurut Norde, setiap bahagian masih perlu diperbaiki terutamanya di bahagian pertahanan yang dilihat masih longgar.


“Apa yang saya lihat dari pengalaman saya sebelum ini kami masih mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan.

Bagi saya bahagian pertahanan kami masih longgar dan belum dapat keserasian baik. Selain itu bahagian serangan juga masih perlukan kerja. Jika kami dapat selesaikan kedua-dua ‘masalah’ ini pastinya kami akan menjadi sebuah pasukan yang bagus,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambah pemain berusia 33 tahun itu lagi, mereka juga kehilangan beberapa tonggak utama menjelang perlawanan Piala Sumbangsih akibat kecederaan, namun beliau tetap teruja untuk beraksi untuk skuad Sang Penyu esok.

Terengganu akan menentang juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan Piala Sumbangsih yang juga merupakan perlawanan pertama Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) esok (Jumaat).

Dalam pada itu, Norde mengakui pasukan lawan adalah sebuah skuad yang cukup hebat dan lengkap dari segala aspek, namun mereka akan tetap cuba memberikan cabaran sengit.

Beliau pada masa juga akan berpuas hati sekiranya mereka berjaya membawa pulang satu mata ke Terengganu.

“Keputusan seri juga baik untuk perlawanan pertama walaupun kami tahu sukar tapi kami akan tetap memberikan yang terbaik dan cuba dapatkan mata semaksimum mungkin.”

Sementara itu, Norde juga berkata walaupun mereka tampil sedikit ‘tempang’, namun mereka tidak akan bermain secara bertahan sebaliknya mereka akan bermain dengan corak permainan asal mereka dan tetap melakukan serangan jika mendapat peluang.