Bukan saja permainan kian meningkat, badan Safawi Rasid juga makin ‘padu’ selepas berpindah ke Ratchaburi FC

1,329

Penyerang sayap negara, Safawi Rasid yang berhijrah secara pinjaman ke Ratchaburi FC yang berpangkalan di Thailand menujukkan peningkatan drastik walaupun baru sahaja berada di sana tidak sampai dua bulan.

Beliau menunjukkan peningkatan dari segi kualiti permainan selepas membantu pasukan untuk layak ke separuh akhir Thai League Cup dengan memberi satu bantuan gol ketika menewaskan Samut Songkram dengan kemenangan 2-1.


Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon turut memberi kenyataan bahawa Safawi semakin  menunjukkan impak positif terhadap diri beliau ketika berada di Thailand.

Pan-gon juga gembira kerana Safawi Rasid juga menujukkan perubahan ketara dari segi fizikal dan juga berjaya menurunkan berat badan agar beliau kekal fokus dan juga mencari peluang untuk merebut kesebelasan utama.

Ini memastikan supaya Safawi dapat meneruskan momentum ketika bersama pasukan Ratchaburi dan seterusnya mendapat minit permainan yang lebih banyak ketika berada di sana.

Pan Gon juga mengakui bahawa Safawi dilihat gembira ketika berada di sana dan cepat menyesuaikan diri bersama rakan sepasukan tanpa mempunyai sebarang masalah yang besar.

Sekiranya Safawi boleh memberi komitmen dan juga sentiasa berusaha ke tahap yang lebih baik, nescaya beliau akan dapat meningkatkan prestasi serta menemui sentuhan penyudah yang beliau miliki suatu ketika dahulu.

Ini juga memberi kelebihan kerana pengalaman yang ditimba oleh Safawi bersama pasukan Ratchaburi akan memberi manfaat kepada skuad Harimau Malaya menjelang aksi perlawanan persahabatan dan kejohanan Piala Asia Januari tahun depan.

Untuk pengetahuan, semenjak Safawi berpindah ke Johor Darul Ta’zim (JDT) dari T-Team FC atau dikenali sebagai Terengganu FC II, beliau telah menjaringkan 32 gol dan menghasilkan 16 bantuan gol sepanjang 114 penampilan bersama pasukan Harimau Selatan.

Malah, beliau sentiasa menjadi pemain kegemaran jurulatih JDT untuk ditempatkan di dalam kesebelasan utama kerana kelajuan yang beliau miliki serta ketajaman penyudah ketika berada di gawang gol.

Namun kebangkitan yang ditunjukkan Arif Aiman Hanapi di dalam pasukan menyebabkan Safawi makin tersisih dan kerap diturunkan sebagai pemain simpanan kerana saingan untuk merebut tempat di dalam pasukan serta kehebatan Aiman yang sukar digugat.

Diharap Safawi akan terus kekal bersama pasukan Ratcaburi selain berusaha keras untuk mendapatkan minit permainan yang lebih baik serta mencari kembali momentum dan sentuhan beliau untuk menabur bakti bersama pasukan Malaysia.