Legenda pengulas, John Motson meninggal dunia, teringat pemergian Datuk Hasbullah Awang yang masih tiada pengganti

415

Semalam, seluruh dunia dikejutkan dengan pemergian pengulas bola sepak terkenal, John Motson yang meninggal pada usia 77 tahun di rumah ketika tidur.

Beliau dikenali oleh peminat sukan bola sepak kerana suara ’emas’nya yang sentiasa menghiasi kaca televisyen dan juga permainan video bola sepak yang terkenal keluaran EA Sports, FIFA.


Sepanjang kerjaya beliau sebagai pengulas bola sepak, beliau telah mengulas lebih 2500 perlawanan secara langsung di mana beliau telah bertugas di sepuluh kejohanan Piala Dunia, Sepuluh kejohanan Eropah seperti Liga Juara-juara (UCL), dan hampir setiap musim beliau bertugas di dalam perlawanan Liga Perdana di England.

Suara dan intonasi beliau yang klasik serta mempunyai lenggok bahasa yang disukai oleh penonton menyebabkan beliau dikenali oleh hampir seluruh penyokong bola sepak dan sentiasa mendapat pujian dari rakan seperjuangannya seperti Martin Tyler dan Brian Moore.

Malaysia juga pernah mempunyai pengulas yang diangkat sebagai legenda iaitu Datuk Hasbullah Awang yang meninggal dunia pada tahun 2015 akibat komplikasi jantung.

Beliau yang mempunyai suara yang enak serta ulasan yang bersahaja menyebabkan perlawanan bola sepak menjadi lebih meriah dan beliau semakin popular di kalangan penonton apabila liga bola sepak Malaysia dinaikkan dari amatur ke semi-pro pada tahun 1990.

Gaya percakapan beliau yang tenang dan pandai berbicara mengikut situasi perlawanan menyebabkan ramai orang yang mengenali beliau sebagai pengulas lagenda sukan negara.

Beliau juga mempunyai mempunyai aura yang tersendiri serta semangat ketika menggulas sukan menarik minat ramai penonton untuk menyaksikan perlawanan bola sepak dan ada yang sanggup menunggu demi mendengar suaranya sahaja.

Walaupun pada zaman sekarang sudah mempunyai pengulas bola sepak seperti Zainal Abidin Rawop Shaukei Kahar dan Wan Khairil Azwa, namun setakat ini suara Hasbullah Awang masih lagi tersemat dalam hati peminat bola sepak tempatan.

Pengulas baharu juga tidak terlepas daripada sebarang kritikan daripada peminat yang tidak menggemari gaya pengulasan mereka.

Berbeza dengan Datuk Hasbullah yang jarang dikritik kerana kurang melakukan kesilapan dan mempunyai gaya yang digemari oleh semua orang.

Suara beliau yang dianggap ‘suara emas’ pastinya akan dikenang kerana pastinya tiada yang mampu menandingi kehebatan beliau ketika mengulas sesuatu perlawanan.

Pemergian John Motson dan Datuk Hasbullah Awang akan sentiasa kekal di ingatan kerana kelebihan dan kehebatan mereka ketika menjadi pengulas sukan tidak dapat dicari ganti.