Tomislav Steinbruckner keluarkan Adisak Kraisorn awal kerana tak berpuas hati dengan aksinya

2,780

Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner mendedahkan beliau mengambil keputusan untuk mengeluarkan Adisak Kraisorn awal kerana kurang berpuas hati dengan persembahannya pada separuh masa pertama.

Steinbruckner bagaimanapun tidak mahu meletakkan kesalahan itu sepenuhnya kepada Adisak kerana pemain itu baru baru sahaja pulih dari kecederaan selepas beberapa hari tidak menyertai latihan bersama pasukan.


“Pada separuh masa pertama jika anda lihat beliau (Adisak) membiarkan Arif Aiman, Matt Davies dan Juan Muniz mencipta formasi segi tiga dan tidak membantu rakan-rakannya langsung.

Jadi separuh masa kedua kita buat sedikit perubahan dengan menggantikan beliau dengan Syafik Ismail kerana pemain itu ada kelajuan. Beberapa hari yang lalu Adisak juga tidak dapat menyertai latihan pasukan dan hanya turun berlatih semalam selepas mengalami sedikit kecederaan,”

katanya.

Dalam perlawanan Piala Sumbangsih yang juga perlawanan Liga Super pertama, Terengganu terpaksa akur dengan kehebatan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berjaya menewaskan mereka 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) malam tadi.

Walaupun tidak berpuas hati dengan persembahan dan keputusan perlawanan, namun Steinbruckner tidak boleh merungut kerana beliau menukar sistem permainan untuk musim ini.

“Saya tidak boleh complaint banyak sangat terhadap pemain kerana ini kali pertama pasukan saya bermain dengan sistem baru dan masalahnya sistem itu berkesan ketika bertahan tapi apabila Bergson berjaya menjaringkan gol, ia bermakna pemain hilang fokus.

Pemain saya tidak sepatutnya membiarkan Bergson keseorangan beberapa meter dari gawang gol. Tiada siapa pun yang dekat dengannya dan berlakunya kesilapan individu.”

Dalam pada itu, beliau juga menegaskan bahawa sebagai seorang pemain bola sepak profesional mereka tidak boleh faham dengan satu sistem sahaja, sebaliknya faham beberapa sistem permainan.

Terengganu membuka tirai kempen Liga Super dengan keadaan ‘tempang’ apabila beberapa tonggak utama seperti Habib Haroon dan Faiz Nasir akibat kecederaan, manakala Liridon Krasniqi pula adalah pemain pinjaman JDT.

Sementara itu, Steinbruckner berharap pasukannya akan meningkatkan prestasi permainan mereka apabila menentang Kedah Darul Aman FC pada perlawanan kedua di Stadium Darul Aman pada 1 Mac ini.