Penyokong banyak merungut bila pasukan asyik kalah, tapi nak ‘support’ pasukan banyak pula alasan yang diberikan

755

Kehangatan Liga Super 2023 sudah mula dirasai selepas 7 perlawanan dimainkan pada minggu pertama menyaksikan Johor Darul Takzim (JDT) merangkul Piala Sumbangsih dengan menewaskan Terengganu FC pada perlawanan pembukaan.

Kuching City FC, Sabah FC, Kedah Darul Aman FC dan Selangor FC juga berjaya mendapatkan 3 mata berharga manakala perlawanan antara KL City FC menentang Penang FC dan Negeri Sembilan FC menentang Sri Pahang FC berakhir dengan keputusan seri.


Untuk rekod kehadiran penonton di stadium, perlawanan JDT menentang Terengganu menyaksikan kehadiran penonton paling ramai dengan 31,889 orang membanjiri Stadium Sultan Ibrahim manakala Stadium Cheras adalah yang paling sedikit dengan hanya merekodkan sekitar 1,291 orang penyokong, dengan jumlah kehadiran keseluruahan adalah seramai 79,056 penonton di tujuh stadium yang berbeza.

Ini menunjukkan kehadiran penonton akan ramai sekiranya perlawanan tersebut hanya mempunyai perlawanan melibatkan pasukan besar manakala untuk perlawanan melibatkan pasukan kurang ternama jumlah kehadiran pastinya tidak memuaskan.

Ia menyebabkan sesebuah kelab bola sepak akan menghadapi isu utama iaitu kekurangan dana untuk memastikan operasi kelab dapat berjalan dengan lancar.

Penonton juga memainkan peranan penting untuk sesebuah kelab kerana tanpa penyokong pastinya kelab tidak dapat bertahan lama.

Antara peranan yang boleh dilakukan oleh penyokong adalah hadir ke stadium untuk memberi sokongan kepada kelab walaupun ketika kelab sedang jatuh.

Kedua, penyokong perlulah membeli jersi yang original dan menggunakan siaran berbayar seperti Astro dan aplikasi Sooka untuk menonton perlawanan Liga Super dan katakan tidak kepada penstriman secara haram.

Dengan perkara seperti ini, ia sedikit sebanyak akan membantu pasukan menjana pendapatan dan boleh membantu kelangsungan kelab.

Namun, jangan pula banyak berbunyi sekiranya pasukan tidak meraih keputusan yang memberangsangkan dan hanya kecoh di media sosial sekiranya tidak sanggup berkorban demi pasukan kesayangan.

Liga Super kini sudah berada di era penswastaan maka banyak perbelajaan yang perlu dilakukan tanpa menggunakan dana kerajaan negeri seperti sebelum ini.

Semoga penonton dapat mengubah sikap mereka serta bersama-sama membantu pasukan dari segi penjanaan pendapatan dengan hadir ke stadium untuk memberi sorakan padu dan membeli jersi original serta sentiasa menyokong pasukan sama ada menang atau kalah.