Kehadiran tokoh bola sepak negara beri jaminan Melaka FC tak akan berdepan masalah gaji musim ini!

850

Semalam telah berlangsungnya majlis pelancaran jersi dan pasukan Melaka FC 2023 yang akan bersaing dalam liga semi-profesional Liga M3.

Apa yang menarik mengenai pelancaran semalam adalah kehadiran ramai nama-nama besar dalam industry bola sepak tanah air termasuk Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, TYT Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Rustam, Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA), Datuk Wira Nur Azmi Ahmad, Pengerusi Amateur Football League (AFL) dan Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.


Tidak keterlaluan jika hendak mengatakan majlis pelancaran jersi Melaka yang berlangsung di Casa De Rio merupakan majlis pelancaran paling mewah dalam kalangan pasukan yang bersaing di Liga M3 musim ini.

Kehadiran ramai tokoh-tokoh bola sepak tanah air itu memberi bukti bahawa pasukan dari negeri bersejarah itu mendapat sokongan padu daripada mereka.

Dengan ini juga ia seperti memberi petanda atau jaminan bahawa pasukan Melaka pada musim ini tidak akan terpalit dengan masalah tunggakan gaji seperti yang berlaku dalam pasukan Melaka United FC musim lalu.

Biarpun sebelum ini timbul pelbagai kontroversi selepas penubuhan Melaka FC, namun pihak pengurusan kelab dan juga AFL sendiri telah tampil menjelaskan situasi termasuk menyatakan bahawa kelab itu tiada sebarang kaitan dengan Melaka United.

Walaupun hadir sebagai pasukan baru, namun pasukan yang dikendalikan oleh ketua jurulatih Pedro Hipolito ini menjadi antara salah satu pasukan pilihan berikutan dibarisi ramai pemain-pemain berkualiti yang pernah beraksi di Liga Super dan juga pemain kebangsaan.

Antara pemain tumpuan sudah semestinya penyerang naturalisasi negara Guilherme de Paula yang akan mengetuai bahagian serangan, selain pemain berpengalaman lain seperti Syahrul Azwari, S. Veenod, Farid Khazali, Sharin Sapien, Syazwan Zaipol, Ahmad Syamim Yahya dan ramai lagi.

Dengan kehadiran pemain-pemain ini tidak mustahil untuk mereka mudah mendominasi saingan liga pada musim ini dan mampu naik ke Liga Perdana atau Liga Super pada musim 2024.

Saingan Liga M3 akan membuka tirainya pada 4 Mac ini yang mana Melaka akan menentang Sains FC di Stadium Hang Tuah.