BRM FC buat ‘comeback’, ketepikan penaja yang tidak sah di sisi undang-undang bola sepak

668

Debaran setiap pasukan semakin terasa apabila saingan Liga M3 di bawak kelolaan Amateur League Football (AFL) akan memulakan perlawanan pertama pada 4 Mac 2023.

Pasukan yang berpangkalan di Perak iaitu Kuala Kangsar BRM FC antara 14 pasukan yang akan bertanding di dalam Liga M3 walaupun sebelum ini terpalit dengan masalah penajaan.


Pasukan Kuala Kangsar BRM nampaknya tidak menarik diri daripada saingan Liga M3 pada musim ini walaupun telah membuat kenyataan bahawa mereka mungkin terpaksa menarik diri selepas menghadapi masalah penajaan.

Selepas menandatangani bekas pemain Negeri Sembilan FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT), Nazrin Nawi, mereka seolah-olah memberi isyarat bahawa mereka akan terus bertanding.

Ini menunjukkan ‘ugutan’ yang mereka cuba lakukan tidak menjadi kerana mereka masih lagi mahu meneruskan saingan di dalam Liga M3 pada musim 2023.

Terdahulu, pasukan BRM telah melancarkan jersi baharu mereka dalam satu majlis yang meriah yang dihadiri oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli serta melakukan perlawanan persahabatan bersama Superlawak FC.

Namun, pelancaran jersi tersebut menerima kritikan apabila jenama rasmi pasukan datangnya daripada sebuah syarikat rokok elektronik.

Ia menyebabkan penajaan tersebut tidak menjadi dan pasukan itu berkemungkinan tidak dapat beraksi dalam Liga M3 kerana ketiadaan penaja.

Perkara ini seharusnya menjadi satu pelajaran yang berguna buat pasukan yang bermain di mana-mana liga untuk mencari penaja yang tidak menyalahi undang-undang bola sepak Malaysia.

Individu yang ditugaskan oleh kelab itu untuk mencari penaja juga sepatutnya mengetahui perkara asas ini, di mana syarikat rokok tidak dibenarkan untuk menaja pasukan bola sepak.

Peraturan dan larangan ini sebenarnya telah lama dikuatkuasakan, justeru ia adalah kesilapan sendiri kerana tidak peka akan perkara ini.

Diharap pasukan BRM tidak lagi melakukan kesalahan yang sama dan pasukan-pasukan yang lain perlu menjadikan isu pasukan BRM sebagai pengajaran dalam mencari penaja supaya tidak mengikat kontrak dengan penaja yang menyalahi undang-undang bola sepak.