Selain mahu kekalkan kejuaraan Liga M3, Adam Shafiq juga mahu PIB FC layak ke Piala Malaysia

192

Penyerang PIB FC, Adam Shafiq memberitahu sasaran utama mereka sudah semestinya untuk cuba mempertahankan kejuaraan Liga M3 walaupun mengakui bakal berdepan cabaran yang cukup sengit musim ini.

Adam bagaimanapun berkata selain mahu mengekalkan kejuaraan liga, beliau juga mahu membantu PIB untuk mengecapi kejayaan lain termasuk layak ke Piala Malaysia.


“Bagi saya mana-mana pemain pun mahu kekalkan kejuaraan liga, tapi bagi saya apa yang penting adalah untuk bantu pasukan untuk kecapi kejayaan-kejayaan lain termasuk layak ke Piala Malaysia atau Piala Cabaran pada musim ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau mengakui saingan Liga M3 pada musim ini cukup sengit apabila banyak pasukan yang melakukan persiapan cukup rapi termasuk membawa masuk ramai pemain-pemain dari Liga Super.

“Persaingan lagi kompetitf sebab pasukan seperti Harini FT, Melaka FC dan pasukan-pasukan lain melakukan persiapan cukup rapi dan saya percaya tiada jalan mudah untuk mana-mana pasukan. Namun saya juga percaya pemain-pemain PIB akan memberikan yang terbaik dalam saingan musim ini.”

Untuk musim 2023, pihak Amateur Football League (AFL) telah melakukan perubahan format yang mana mereka tidak lagi akan menggunakan format dua kumpulan, sebaliknya 14 pasukan akan berentap dalam saingan liga biasa.

Dalam pada itu, untuk musim ini PIB telah melakukan rombakan pemain apabila hanya mengekalkan 11 pemain dari musim lalu dan membawa masuk pemain-pemain berpengalaman yang beraksi di Liga Super.

Adam bagaimanapun pasukannya masih perlukan sedikit masa lagi untuk mendapatkan keserasian yang lebih baik.

“Keserasian itu tak datang dalam tempoh singkat, kita perlukan masa juga. Bagaimanapun saya hormat pada pemain-pemain baru yang tidak mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri dengan pemain lama. Itulah saya bangga dengan rakan sepasukan.”

PIB FC akan membuka tirai saingan Liga M3 mereka menentang Manjung City FC pada 4 Mac ini yang akan berlangsung di Stadium Manjung, Perak.