Tindakan wajar Zamsaham haramkan lato-lato di SSMIV wajar dicontohi, elakkan perkara buruk berlaku

498

Sejak kebelakangan ini, permainan yang berasal dari Indonesia, lato-lato semakin popular di negara ini dan seringkali dilihat dimainkan oleh kanak-kanak di mana-mana sahaja.

Walaubagaimanapun, ramai sebenarnya yang tidak gemar akan permainan tersebut kerana bunyi bisingnya yang mengganggu persekitaran.


Sehubungan daripada itu, Kelantan FC menjadi pasukan pertama dalam negara ini yang mengharamkan lato-lato daripada dibawa ke Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV).

Ia diumumkan sendiri oleh pemilik kelab, Norizam Tukiman atau Zamsaham sebelum perlawanan pertama pasukan itu baru-baru ini.

Apa yang dilakukan oleh Zasaham itu adalah satu tindakan yang wajar kerana permainan itu bukan sahaja boleh menyebabkan gangguan bunyi tetapi juga mendatangkan kecederaan kepada orang lain.

Mungkin ia dilihat satu perkara yang kecil, tetapi mudarat yang boleh terjadi disebabkan oleh permainan itu adalah amat besar.

Cuba bayangkan lato-lato dibenarkan untuk dibawa ke stadium, pastinya penyokong tidak merasa aman untuk menonton perlawanan bola sepak kerana bunyinya yang bingit.

Selain itu, dengan keadaan stadium yang penuh dengan ramai orang, kemungkinan untuk mendatangkan kecederaan kepada orang lain juga adalah tinggi.

Bukan sahaja penyokong, pemain sendiri juga boleh terganggu fokus mereka dengan bunyi yang bising sekiranya ramai yang bermain lato-lato di stadium.

Walaupun ia adalah sejenis permainan, tetapi ia juga boleh dijadikan sebagai senjata, dan mungkin ia akan dijadikan senjata oleh individu yang tidak bertanggungjawab apabila tercetusnya pergaduhan.

Justeru, apa yang dilakukan oleh Zamsaham dan Kelantan ini adalah satu tindakan yang wajar dicontohi oleh pasukan lain.

Seperti kata pepatah, ‘mencegah adalah lebih baik daripada mengubati’, pengharaman lato-lato oleh Zamsaham dan Kelantan ini adalah satu cara yang amat bijak dalam memastikan perkara buruk tidak berlaku akibat permainan itu.