Kejayaan Marcin Oleksy julang Anugerah Puskas FIFA patut buka mata untuk bola sepak kudung di Malaysia

199

Semalam telah berlangsung majlis #TheBest Anugerah Bola Sepak FIFA 2022 yang mana ia memberi pengiktirafan tertinggi buat pemain dan jurulatih bola sepak yang berjaya mengecapi kejayaan sepanjang musim lalu.

Namun apa yang paling menarik perhatian adalah pemenang Anugerah Puskas yang berjaya dimenenangi oleh Marcin Oleksy yang merupakan pemain bola sepak kudung Poland dan kelab Warta Poznan.


Oleksy merupakan satu-satunya pemain bola sepak Orang Kurang Upaya (OKU) pertama berjaya meraih kejayaan tersebut yang sebelum ini didominasi oleh pemain bola sepak normal.

Kejayaan itu menyaksikan beliau berjaya menewaskan calon pemain bintang lain seperti Richarlison dan Dimitri Payet.

Pencapaian Oleksy adalah sesuatu yang cukup menakjubkan dan ia memberi petanda bahawa sukan bola sepak kudung di Eropah kini semakin berkembang dan perkara ini sepatutnya dapat membuka mata Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk turut mengiktiraf bola sepak kudung ini.

Jika perkara ini berlaku, pastinya satu anugerah khas dapat diwujudkan di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) bagi mengiktiraf pemain bola sepak istimewa ini.

Bagi yang tidak tahu, Malaysia sebenarnya mempunyai pasukan bola sepak kudung yang telah mengharungi Kelayakan Piala Dunia Zon Asia Timur tahun lalu, namun gagal melayakkan diri ke kejohanan berprestij itu.

Skuad yang dikendalikan oleh ketua jurulatih Sunny Shalesh sebelum ini pernah meluahkan sedikit kekecewaan apabila bola sepak kudung seperti dianaktirikan apabila tidak mendapat perhatian langsung.

Malah bola sepak kudung juga tidak bernaung di bawah mana-mana agensi termasuk FAM sendiri.

Oleh itu, diharap FAM akan mempertimbangkan untuk menyerap masuk bola sepak kudung supaya berada di bawah naungan mereka sekaligus dapat membuat perancangan lebih rapi untuk mengembangkan lagi bola sepak kudung ini.

Sebenarnya ramai orang OKU yang mempunyai bakat dalam sukan bola sepak namun mereka tidak mempunyai platform untuk mengembangkan bakat mereka.

Jika bola sepak kudung atau bola sepak OKU khususnya diletak dibawah naungan FAM, mungkin satu kejohanan khas dapat diwujudkan atau liga bola sepak kudung atau OKU dapat diwujudkan.

Sekiranya ia menjadi kenyataan, maka FAM juga sudah boleh membuat perancangan untuk program pembangunan akar-umbi sekaligus dapat melahirkan lebih ramai pemain bola sepak dari golongan OKU yang berkualiti.

Mana tahu satu hari nanti Malaysia akan menjadi mencipta sejarah lagi mempunyai pemenang Anugerah Puskas daripada pemain OKU.

Pada tahun 2016, nama Malaysia menjadi perhatian dunia apabila Faiz Subri berjaya merangkul anugerah itu.

Berikut adalah senarai penuh pemenang #TheBest Anugerah Bola Sepak FIFA 2022:

The Best FIFA Pemain Wanita: Alexia Putellas (Spain/FC Barcelona Femení)

The Best FIFA Pemain Lelaki: Lionel Messi (Argentina/Paris Saint-Germain FC)

The Best FIFA Penjaga gol Wanita: Mary Earps (England/Manchester United WFC)

The Best FIFA Penjaga gol Lelaki: Emiliano Martínez (Argentina/Aston Villa FC)

The Best FIFA Jurulatih Wanita: Sarina Wiegman (pasukan kebangsaan wanita England)

The Best FIFA Jurulatih Lelaki: Lionel Scaloni (pasukan kebangsaan lelaki Argentina)

The FIFA Anugerah Puskas: Marcin Oleksy (Poland/Warta Poznań)

The FIFA Anugerah Fair Play: Luka Lochoshvili (Georgia/Wolfsberger AC/U.S. Cremonese)

The FIFA Anugerah Peminat: Peminat Argentina