Noor Azman gesa penyokong tidak buat ‘kacau’ jika tidak kelab akan dikenakan tindakan

640

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman menggesa semua penyokong bola sepak berhemah dan tidak membuat kacau atau provokasi yang boleh mencetuskan insiden tidak diingini.

Menurut Noor Azman, sekiranya ada insiden yang berlaku pihak kelab kesayangan mereka akan berdepan tindakan termasuk hukuman denda.


Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai insiden beberapa penyokong kasual Perak FC sekali lagi mencetuskan provokasi ketika pasukan itu tewas 4-1 kepada Kedah Darul Aman FC di Stadium Ipoh, Perak baru-baru ini.

“Mengenai isu tersebut saya masih belum mendapat laporan rasmi tapi saya menggesa supaya penyokong-penyokong berhemah dan tidak melakukan sebarang provokasi kerana ia akan menimbulkan pelbagai masalah nanti.

Kita akan tunggu laporan rasmi dan jika ada dan didapati bersalah kelab berkenaan akan dikenakan hukuman. Tapi setakat ini memang kita belum terima sebarang laporan rasmi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam insiden yang tular di media sosial sebelum ini memperlihatkan penyokong kasual Perak membuat kekecohan ketika perlawanan sedang berlangsung yang mana mereka bukan sahaja membuat provokasi terhadap penyokong KDA tetapi juga membuat provokasi terhadap pihak polis.

Diharap kelab-kelab dapat mendidik penyokong masing-masing supaya tidak bertindak di luar kawalan kerana perkara itu akan merugikan kelab itu sendiri apabila kelab berkemungkinan besar akan dikenakan hukuman denda puluhan ribu ringgit.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai tindakan ketua jurulatih KL City FC iaitu Bojan Hodak yang meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap mutu pengadilan ketika perlawanan menentang Penang FC baru-baru ini.

Noor Azman berkata pihaknya sudah pun menerima bantahan rasmi kepada pihak FAM untuk tindakan selanjutnya.

“Kalau beliau (Bojan Hodak) tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan, beliau boleh membuat bantahan menerusi saluran betul dan mereka sudah pun menghantar surat bantahan itu.

Kita kini sedang menunggu laporan daripada Penilai Pengadil dan kita akan minta Jawatankuasa Penilai Prestasi Pengadil untuk menilai semula laporan tersebut. Mungkin esok atau lusa kita akan maklumkan.”

Tambahnya lagi, FAM sentiasa terbuka untuk menerima sebarang teguran tetapi ia perlu dilakukan menerusi saluran yang betul.

Sementara itu, beliau juga memberitahu bahawa senarai pemain yang akan dipanggil untuk ke kem latihan berpusat Harimau Malaya akan diumumkan oleh ketua jurulatih Kim Pan-gon dalam masa terdekat ini.

Skuad negara dijadual akan menghadapi dua perlawanan persahabatan pada 23 Mac menentang Turkmenistan dan Hong Kong pada 28 Mac yang mana kedua-dua perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).