Semua pasukan yang bertemu Harini FT nanti akan berikan aksi 200% – Azmeer Yusof

310

Pemain pertahanan Harini FT, Azmeer Yusof menyedari bahawa pasukannya kini menjadi sebutan ramai yang meletakkan mereka sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai saingan Liga M3 pada musim ini.

Menurut Azmeer, jika dilihat di atas kertas pasukan beliau menganggap pasukan Harini FT sebagai pasukan gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT) tetapi versi Liga M3 dan setiap pasukan yang bertemu dengan mereka akan memberikan aksi terbaik.


“Sebenarnya beban tu ada apabila mana-mana pasukan yang jumpa kami akan memberikan aksi 200%. Jadi saya letakkan Harini FT seperti JDT di Liga M3.

Ini adalah berdasarkan pengalaman saya pada tahun lalu yang mana setiap pasukan yang bertemu dengan kami akan memberikan persembahan yang lebih. Itu adalah cabaran yang akan dihadapi oleh kami. Oleh itu kami perlu sentiasa bersedia,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, Azmeer berkata untuk saingan musim ini pasukan mereka telah membuat persiapan pra-musim dengan lebih awal termasuk membawa masuk ketua jurulatih baru (P. Maniam) dan ramai pemain baru termasuk pemain dari Liga Super.

Antara pemain berpengalaman Liga Super yang menyertai pasukan termasuk Norshahrul Idlan Talaha, Khyril Muhymeen, N. Thanabalan dan Hafizul Hakim.

Persiapan yang cukup rapi dilakukan oleh pasukannya adalah bagi memastikan sasaran pihak pengurusan untuk Harini FT layak ke Liga Super musim depan akan tercapai.

“Seperti yang ramai tahu, pasukan Harini FT kini mempunyai ramai pemain berpengalaman dari Liga Super. Jadi saya harap kami mencapai sasaran yang diletakkan oleh pihak pengurusan untuk ke Liga Super musim depan.

Dengan kehadiran ramai pemain berpengalaman dari Liga Super, setiap pemain kini perlu bekerja dengan lebih keras lagi bagi mendapatkan kepercayaan untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan.”

Sementara itu, Azmeer juga melihat persiapan pasukan semakin hampir lengkap apabila gandingan antara pemain baru dan lama semakin serasi dan ia telah dibuktikan menerusi beberapa siri perlawanan persahabatan yang diharungi mereka sebelum ini.

Azmeer juga berkata walaupun pada musim ini ramai pemain baru yang masuk, namun semangat kekeluargaan dalam pasukan masih lagi kekal.

“Alhamdulillah, pihak pengurusan juga selalu tanya saya mengenai keharmonian pasukan dan saya berkata sangat-sangat bagus walaupun kita berbilang kaum ada Cina, Melayu dan India.

Semuanya saling hormat-menghormati dan bagi kerjasama, pada masa sama juga hubungan dengan ketua jurulatih juga seperti sahabat dan bukan hanya sekadar anak didik, jadi kami di sini seperti sebuah keluarga besar.”

Harini FT akan membuka tirai saingan Liga M3 menentang Sarawak United FC pada 4 Mac ini.