Norshahrul Idlan Talaha sanggup tolak tawaran kelab Liga Super demi Harini FT

1,040

Penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha mengakui beliau ada mendapat beberapa tawaran dari kelab Liga Super, namun beliau memilih untuk menyertai Harini FT yang beraksi dalam saingan Liga M3 pada musim ini.

Menurut Norshahrul, antara faktor utama yang membuatkannya memilih untuk bersama Harini FT adalah kerana sikap pengurusan yang sangat cakna dengan kebajikan pemain dan mempunyai hala tuju dan visi yang cukup jelas.


“Ya betul memang ada tawaran kelab dari Liga Super, tapi saya bersyukur dengan tawaran dari Harini FT kerana pengurusan mereka sangat menitik beratkan mengenai cara pengurusan pemain (kebajikan).

Saya sudah bersama pasukan ini sejak Disember tahun lalu lagi dan kami masih berlatih di tempat yang sama. Tidak seperti pasukan lain termasuklah pasukan dari Liga Super yang sebelum ini kerap menukar tempat latihan.

Jadi, saya sangat berterima kasih kepada pemilik kelab dan pengurusan atas kesungguhan mereka,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Norshahrul berkata beliau mula yakin dengan sasaran pasukan yang mahu ke saingan Liga Super apabila pihak pengurusan membawa masuk bekas ketua jurulatih PJ City FC iaitu P. Maniam untuk mengendalikan pasukan.

Malah mereka juga membawa masuk ramai pemain-pemain dari Liga Super seperti S. Chanthuru, Khyril Muhymeen, Nasir Basharuddin, N. Thanabalan, Hafizul Hakim dan ramai lagi.

Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan bahawa beliau memilih untuk ke Harini FT bukan atas faktor bayaran tetapi tertarik dengan ‘projek’ kelab itu.

“Bagi saya bab gaji ni tolak nombor dua sebab saya akui gaji saya di sini tidak sebesar mana kerana ada lagi pemain di Liga M3 yang mempunyai gaji lebih tinggi. Tapi saya datang ke sini adalah kerana projek Harini FT yang sasar mahu ke Liga Super.”

Jelasnya lagi, beliau mahu mengulangi kejayaan yang pernah dikecapi ketika bersama Sarawak United FC sebelum ini apabila berjaya bantu kelab itu kembali layak ke Liga Super.

Sementara itu, beliau menyedari ramai yang meletak pasukannya sebagai pilihan sebagai juara Liga M3 musim ini berdasarkan skuad yang dibarisi ramai pemain-pemain dari Liga Super, namun beliau enggan terlalu mendabik dada sebaliknya berkata semua pasukan mempunyai peluang.

“Bagi saya tak kerana semua pasukan ada peluang untuk jadi juara. Berdasarkan pengalaman saya, pasukan mana yang konsisten dalam mengumpul mata akan menjadi juara.”

Harini FT akan membuka tirai saingan liga menentang Sarawak United pada 4 Mac ini.