Cameron Ng puas hati dengan prestasi Malayan Tigress B-20

231

Ketua jurulatih skuad wanita B-20 Malaysia, Cameron Ng meluahkan rasa puas hati terhadap peningkatan prestasi anak-anak buahnya biarpun baru seminggu menjalani latihan bersama.

Menurut Cameron, pemain-pemain sudah mula memperlihatkan persefahaman yang baik termasuk berjaya mengikut segala taktikal yang telah diterapkan sekaligus berada dalam keadaan terbaik untuk berdepan Mongolia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras esok.


“Saya nak melihat peningkatan dari segi pemahaman taktikal, dari segi pelaksanaan arahan yang diberi, jadi itu yang lebih kami pentingkan buat masa sekarang. Itulah yang kita nak lihatlah dari perlawanan esok.

Untuk keputusan sudah semestinya kita tidak mahu kalah tetapi untuk perlawanan persahabatan seperti ini keputusan adalah perkara kedua,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, kehadiran dua pemain dari luar negara iaitu Lauren Hoh Ruyi dan Tia Theseira juga tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan pasukan termasuk dari segi komunikasi dan pengaulan bersama rakan sepasukan.

“Tak menjadi masalah. Kedua-duanya pun faham bahasa Melayu, boleh bergaul dan dari segi teamwork memang saya sangat gembira, ada keharmonian dalam pasukan.”

Mengulas tentang sesi motivasi yang diadakan dengan Sharon Wee dan Steffi Sidhu bersama skuad itu baru-baru ini, Cameron berkata beliau lebih menekankan kepada aspek holistik yang perlu dilihat secara keseluruhan bagi melahirkan seorang pemain yang sempurna dari segi mental, kemahiran, kekuatan dan semangat berlawan.

“Jadi benda ni secara keseluruhan. Tanpa satu kita tak boleh berjaya jadi kita perlukan semua.”

Sebelum ini, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin juga sempat memberikan kata-kata semangat buat Malayan Tigress B-20 serta meletakkan harapan agar skuad itu dapat mempamerkan persembahan yang baik.

Sementara itu, Cameron mengakui mereka mempunyai sasaran yang perlu dicapai, namun keutamaan mereka adalah untuk melihat peningkatan.

“Memang kita ada sasaran-sasaran dan KPI sendiri, tapi yang paling penting adalah kita mahu melihat perkembangan bola sepak wanita kerana ketika ini kita sudah boleh nampak hala tuju sudah betul dan berada di landasan tepat.”