N. Thanabalan sasar ke Liga Super, mahu pamer aksi terbaik bersama Harini FT
Penyerang Harini FT, N. Thanabalan mengakui pengurusan baik dan masa permainan yang lebih banyak dari pasukan baharunya itu menjadi antara faktor perpindahannya dari Sabah FC ke Harini FT pada awal tahun ini.
Biarpun merasa rugi tidak dapat bermain bersama skuad Sang Badak yang berjaya menempah slot ke Piala AFC musim ini, namun Thanabalan cekal meneruskan misinya bersama Harini FT bagi mempamerkan aksi terbaik dengan sasaran untuk kembali ke Liga Super musim depan.
“Memang saya ada sasaran peribadi nak jaringkan gol tetapi saya tidak ada sasaran untuk jadi penjaring terbanyak ke apa. Tapi saya memang fokus untuk pasukan lah. Kalau kita satu pasukan mengintai peluang naik balik ke Liga Super.
Sebab semua pemain tak nak main dekat liga bawah. Semua nak main di Liga Super. Jadi kami akan cuba untuk pergi ke Liga Super je,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pemain berusia 28 tahun itu berkata, perpindahannya ke Harini FT tidak mempunyai masalah walaupun pasukan itu berada di Liga M3.
“Masa saya main di Felcra dulu pun Liga FAM juga. Mungkin sama lah level Liga FAM dengan Liga M3 ni. Saya rasa memang bolehlah untuk tahun ini.”
Mengulas isu pengurusan gaji yang kebiasaannya berlaku dalam pasukan kecil yang membawa nama-nama besar, Thanabalan menolak dakwaan berlakunya masalah dalam pengurusan Harini FT.
“Sebenarnya pengurusan Harini FT ni sangat bagus. Saya nak datang sini pun mereka panggil saya dengan profesional. Berkenaan isu-isu semua, mereka lakukan yang terbaik. Memang tak ada masalah sampai sekarang. Memang semua on time, memang semua ok.”
Thanabalan adalah nama yang tidak asing lagi dalam kalangan peminat bola sepak tempatan dengan beliau suatu ketika dahulu pernah menyertai skuad kebangsaan di bawah kendalian jurulatih Datuk Ong Kim Swee sehingga berjaya mencipta nama dengan rekod yang cemerlang.
Bekas penyerang sensasi Harimau Muda itu bagaimanapun mengakui mahu membuktikan kemampuan sebenar dengan mempamerkan persembahan terbaik bersama skuad Harini FT.
Harini FT akan membuka tirai saingan Liga M3 pada 4 Mac ini menentang Sarawak United FC di Stadium UPM, Serdang.