Pengurusan kelab memang mahu Imigresen FC ke Liga Super musim depan – Mat Zan Mat Aris

461

Ketua jurulatih Imigresen FC, Mat Zan Mat Aris mengakui berdepan tugas berat dalam membawa pasukanya mengharungi saingan Liga M3 musim ini apabila pihak pengurusan meletak sasaran untuk ke Liga Super pada musim depan.

Menurut Mat Zan, walaupun sedar akan tugas sukar untuk mencapai sasaran tersebut, namun beliau percaya pemain-pemainnya mempunyai kemampuan untuk merealisasikan sasaran tersebut berikutan musim ini mereka melakukan persiapan cukup rapi.


“Memang pihak pengurusan kelab mahu ke Liga Super musim depan. Jadi memang berat sasaran itu, tapi kita akan cuba ke Liga Super. Kalau boleh dapat Top 2 kerana itu adalah sasaran kita.

Persiapan pasukan berjalan dengan lancar apabila kita sudah membuat persiapan sejak sembila minggu yang lalu termasuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan. Boleh kata kita sudah 99% bersedia untuk harungi saingan musim ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Musim ini akan menyaksikan Imigresen membawa masuk ramai pemain baru yang mempunyai pengalaman di Liga Super seperti Syamim Yahya, Azim Rahim, Hafiz Kamal, Ashmawi Yakin dan ramai lagi.

Dalam pada itu, pengendali berusia 65 tahun itu berkata selain pemain muda dan pemain berpengalaman, skuad The Mighty Tigers juga dibarisi oleh pemain dari staf jabatan Imigresen sendiri.

“Jika kita tengok dalam pasukan ini kita ada pemain berpengalaman, pemain muda dan kita ada anggota dari Imigresen dan kita harap gabungan pemain ini akan membentuk pasukan yang mantap.”

Tambahnya lagi, beliau akan terus memberi peluang sama rata kepada semua pemain termasuk pemain dari jabatan untuk memberikan yang terbaik bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Sementara itu, beliau juga mengakui saingan Liga M3 pada musim ini akan menjadi lebih mencabar apabila banyak pasukan yang membuat persiapan yang cukup rapi termasuk membawa masuk ramai pemain-pemain dari Liga Super dan Liga Perdana.

Antara pasukan yang dilihat mampu menjadi pencabar utama kejuaraan adalah seperti Harini FT, Melaka FC, Perlis United FC dan Armed Forces FC.

Imigresen akan membuka tirai saingan Liga M3 menentang pasukan BRM FC pada 4 Mac ini di tempat lawan.