Selain pemain, penyokong bola sepak tempatan juga perlu bersikap profesional

1,305

Perlawanan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan KL City FC yang berlangsung semalam di Stadium Kuala Lumpur, Cheras sekali lagi menyaksikan skuad Harimau Selatan berjaya menang dengan keputusan 3-0.

Di awal minit perlawanan, kedua-dua pasukan dilihat sedikit bergelut mencari rentak perlawanan, namun tetap mengekalkan sikap profesional masing-masing sehingga wisel penamat.


Sikap profesional yang ditunjukkan para pemain dapat dipuji terutamanya untuk skuad The City Boys biarpun gagal menjaringkan dalam perlawanan liga kedua mereka.

Walaubagaimanapun, tumpuan dialihkan kepada sikap segelintir penyokong skuad KL City yang dikatakan bersikap kurang ajar kepada penyokong JDT melalui satu hantaran yang tular di media sosial semalam.

Melalui hantaran itu, kelihatan dengan jelas seorang penyokong lelaki dengan pakaian serba hitam menunjukkan jari tengahnya sebagai simbol tidak senonoh terhadap penyokong JDT yang merupakan seorang kanak-kanak lelaki.

Gambar itu dikatakan diambil oleh ibu kanak-kanak terbabit sebagai kenangan dan beliau juga turut menyatakan perasaan marah dan tidak puas hatinya terhadap perlakuan biadap itu.

Sikap hormat-menghormati antara satu sama lain seharusnya diterapkan dalam diri setiap manusia terutamanya dalam keadaan yang melibatkan kepelbagaian kaum dan bangsa seperti di perlawanan bola sepak.

Jika para pemain boleh bersikap profesional di atas padang, kenapa tidak penyokong juga bersikap profesional?

Ini kerana sukan bola sepak adalah untuk menyatupadukan dan bukannya untuk memecah belahkan penyokong.