TMJ turut berkenan menyampaikan sumbangan kurniaan bantuan kepada mangsa banjir di PPS sekitar Johor

193

Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan berangkat melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) SK Batu 3 dan Dewan Syarifah Azizah, Kluang, Johor semalam (Rabu).

Bersama-sama dalam lawatan itu anakanda Raja Muda Johor, Tunku Iskandar Tunku Ismail.


Selain di Kluang, daerah Kota Tinggi juga merupakan antara kawasan yang terjejas akibat kenaikan paras air mendadak dengan TMJ juga turut berkenan untuk menyampaikan sumbangan kurniaan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di PPS daerah itu.

Di sekitar Johor, bantuan kurniaan turut diagihkan di 13 PPS membabitkan 259 buah rumah dengan catatan seramai 1,159 orang penduduk secara keseluruhan.

Setakat jam 7.00 malam tadi, jumlah terkini mangsa banjir yang melanda enam negeri terus meningkat daripada 3,389 kepada 11,918 orang keluarga dengan negeri di selatan tanah air itu terus mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 11,241 orang dengan 108 PPS dibuka di negeri itu.

TMJ yang merupakan tulang belakang kepada kejayaan skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) itu juga disifatkan sebagai seorang yang sangat berjiwa rakyat kerana sering mengutamakan kebajikan rakyat negeri Johor melalui keprihatinannya dalam masalah yang dihadapi rakyat di negeri itu.