Ashmawi Yakin berhijrah ke Imigresen FC demi minit permainan, Rafie perlu bijak bahagi masa antara kerja dan bola sepak

388

Pemain pertahanan Imigresen FC (IFC), Ashmawi Yakin memberitahu beliau sanggup berhijrah ke pasukan Liga M3 bagi mendapatkan minit permainan selepas bergelut untuk mendapat tempat ketika bersama pasukan Selangor FC.

“Faktor utama adalah minit permainan kerana IFC menawarkan minit permainan yang lebih jadi ini adalah peluang untuk saya tunjukkan bakat yang saya ada. InsyaAllah ini adalah peluang terbaik saya.

Di Selangor peluang susah kerana persaingan banyak, jadi di sini setakat ini peluang bermain agak banyak, jadi saya perlu buktikan diri saya yang terbaik dan bantu pasukan untuk capai matlamat musim ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau sedikit pun tidak ralat bermain di Liga M3 walaupun sebelum ini beraksi di liga tertinggi Liga Super kerana berkata saingan Liga M3 juga mempunyai cabarannya tersendiri.


Tambahnya lagi, kualiti Liga M3 juga semakin meningkat dan menjangkakan musim 2023 akan menjadi lebih kompetitif apabila ramai pemain-pemain di Liga Super sebelum ini menyertai kelab-kelab di Liga M3.

Dalam pada itu, seorang lagi pemain pertahanan Imigresen iaitu Muhd Rafie Kamaruzzaman pula merupakan antara salah seorang pegawai jabatan Imigresen yang diberi peluang untuk menyarung jersi The Mighty Tigers untuk musim ini.

Menurut Rafie, walaupun mempunyai kerja hakiki tetapi beliau tetap komited dengan kerjayanya sebagai pemain bola sepak.

“Kami sebagai pemain jabatan diberi kelonggaran apabila dapat pelepasan tugas sekiranya terdapat latihan atau perlawanan. Kena bijak bahagi masa, fokus di padang ketika bermain dan fokus di tempat kerja apabila sedang bekerja.

Sebagai seorang pegawai yang bermain untuk majikan sendiri pastinya impikan untuk main dalam kesebelasan utama, jadi kami bersaing antara satu sama lain terutamanya saya bermain di posisi pertahanan kanan. Banyak juga pemain-pemain berpengalaman, jadi saya banyak belajar daripada mereka.”

Beliau yang bermain di posisi yang sama dengan Ashmawi turut mengakui banyak belajar daripada pemain itu untuk menjadi seorang pemain yang baik.

Sementara itu, Rafie juga menyuarakan keyakinannya terhadap kemampuan pasukan Imigresen pada musim ini selepas mereka mengharungi musim yang agak cemerlang pada tahun lalu.

Imigresen akan membuka tirai saingan Liga M3 menentang BRM FC pada 4 Mac ini di Stadium Ipoh, Perak.