Kawamoto sifatkan cuaca punca kekalahan skuad Mongolia menentang Malaysia

589

Ketua Jurulatih skuad B-20 Mongolia, Naoko Kawamoto percaya cuaca di Malaysia menjadi antara kelebihan yang dimiliki pasukan Malayan Tigress yang berjaya menewaskan pasukannya dalam aksi persahabatan Tier 2 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Dalam aksi yang berlangsung dalam keadaan hujan lebat, skuad negara menambahkan lagi derita buat Mongolia dengan berpesta gol menyaksikan Malayan Tigress menjulang kejayaan sulung dalam perlawanan persahabatan antarabangsa dengan keputusan 3-0.


“Bagi pasukan Mongolia, cuaca di sini terlalu panas dan lembab serta keadaan padang juga tidak begitu baik.

Memandangkan ini adalah pengalaman pertama pasukan saya, jadi saya melihat ini sebagai kelebihan buat Malaysia,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Jurulatih dari Jepun itu juga mengakui pasukan Malaysia adalah lebih baik berbanding pasukan Mongolia dengan pemain-pemain yang secara teknikalnya lebih baik serta kemahiran berbahasa (Inggeris) yang dimiliki pemain-pemain kebangsaan.

Ujarnya lagi, corak taktikal yang diterapkan untuk pasukan Mongolia juga ada kalanya menjadi dan ada kalanya tidak menjadi sekaligus menjadikan ia sebagai antara kelemahan dan penambahbaikan yang perlu dibuat oleh pasukannya.

Selepas perlawanan menentang Malaysia, pasukan Mongolia akan diterbangkan pula ke Jordan bagi Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 Kumpulan D yang dijadualkan bermula pada 8 Mac ini.

“Corak permainan di sana juga bakal tiada yang berubah seperti perlawanan ketika menentang Malaysia semalam (Khamis).”