Masih ada ruang untuk diperbaiki, Cameron Ng puas hati persembahan sulung Malayan Tigress

184

Perancangan ketua jurulatih skuad wanita bawah 20 (B-20) Malaysia, Cameron Ng membuahkan hasil apabila skuad kendaliannya menang besar menentang Mongolia dengan keputusan 3-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras semalam (Khamis).

“Secara keseluruhannya, ini adalah persembahan berkumpulan yang baik. Tiada yang membiarkan rakan lain jatuh dan kita cuma berusaha keras bersama di sini,”

katanya.

Aksi pemanas badan Tier 2 itu menjadi permulaan baik buat Malayan Tigress biarpun baru seminggu menjalani latihan di bawah pimpinan Cameron yang juga merupakan bekas Ketua Unit Akar Umbi FAM.


“Saya berpuas hati dengan persembahan malam ni dan kita pun dapat bonus menang. Bagi saya yang paling penting saya nak tengok persefahaman dan taktik. Saya sangat gembira hari ini. Kita boleh lihat formasi, mereka faham apa yang kita perlukan dan apa yang kita telah berlatih selama lebih kurang seminggu.”

Walaupun kebanyakan pemain masih muda dan mempunyai saiz fizikal yang lebih kecil berbanding pemain Mongolia, namun terbukti ia tidak menjadi masalah apabila skuad negara mampu mempamerkan aksi terbaik.

“Kita dalam proses peningkatan dan penyesuaian walaupun masih belum mencapai 100% untuk menjadi lebih baik. Kita juga berharap dapat lakukan yang terbaik ketika di Kemboja.”

Beliau juga tidak menafikan masih ada ruang yang perlu diperbaiki disamping perlu memberikan tumpuan kepada kelebihan Malayan Tigress terutamanya dari segi taktikal.

Keadaan padang yang berlecak akibat hujan lebat juga tidak menjadi masalah buat skuad kebangsaan dengan masing-masing dilihat mampu mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah padang ini dan masih dapat menjaringkan tiga gol.

Umpama berada di landasan tepat, Cameron mahu pemain-pemain memperbaiki kelemahan mereka sekaligus menggunakan segala kekuatan yang ada untuk membentuk skuad yang ampuh.