Kanchenjeet Kaur tiada masalah bermain di dua posisi berbeza

1,130

Pertahanan kanan Malayan Tigress, Kanchenjeet Kaur berpuas hati dengan persembahannya ketika menentang pasukan Mongolia dengan keputusan akhir 3-0 dalam perlawanan Tier 2 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras Khamis lalu.

Kanchen yang juga merupakan nama baru dalam skuad kebangsaan juga mengakui keadaan padang yang berlumpur dan licin menjadikan perlawanan semakin sukar, namun masih berjaya mendapatkan keputusan membanggakan buat Malaysia.


Walaupun terpaksa menukar posisi baharu dalam skuad negara, bekas pemain Selangor itu bagaimanapun tetap mampu untuk mengawal permainan dengan baik sehingga wisel penamat.

“Posisi kegemaran saya adalah di tengah tetapi di mata jurulatih, saya sesuai di posisi bek kanan dan saya suka kedua-dua posisi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Kanchen juga mengakui beliau pada mulanya bergelut untuk menyesuaikan diri dalam pasukan kebangsaan, namun beliau tidak mengambil masa lama untuk cepat serasi bersama rakan sepasukan.

“Mungkin bagi semua pun sukar untuk menyesuaikan diri dengan situasi baru dan rakan sepasukan baru dari negeri yang berbeza. Rasanya saya sudah dapat menyesuaikan diri dengan baik dalam pasukan ini.”

Menyentuh berkaitan sasaran peribadi, Kanchen berharap dapat membuktikan dirinya layak untuk berada di posisi yang diberikan dan turut menyasarkan Malayan Tigress untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia Wanita B-20.

“Saya rasa kami sudah bersedia dan saya yakin kami boleh lakukan yang terbaik dan dapat keputusan positif pada pusingan kelayakan. Cuma saya rasa kami perlu mengekalkan keyakinan tapi tidak terlalu yakin walau di mana pun kami berada.”