Saya korbankan tiket konsert Blackpink RM1,888 demi tugas sebagai pengurus skuad wanita Kelana United FC – Irfan Razali

1,212

Pengurus pasukan wanita Kelana United FC, Irfan Razali merasakan pengorbanannya untuk melepaskan konsert Blackpink untuk menghadiri perlawanan suku akhir FAS Women Super League menentang FC Swat amat berbaloi selepas mereka menang 2-0.

Katanya, beliau sebelum ini telah membeli tiket konsert kumpulan K-pop itu yang berharga RM1888 tetapi terpaksa berkorban kerana tarikh suku akhir bertembung.


“Saya korbankan tiket saya kerana kita dah dua bulan bersiap sedia bersama pasukan, jadi Blackpink lain cerita yang penting pemain saya dahulu.

Memang saya rasa berbaloi dengan kemenangan ini tetapi selepas ini kita perlu fokus terus kepada perlawanan separuh akhir,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurutnya, beliau mahu Kelana United bergelar juara FAS Women Super League.

Tambahnya, para pemain menunjukkan mentaliti yang amat kuat untuk menjadi juara pada kali ini dan beliau harap mereka dapat mengekalkannya sehingga penamat.

“Mental mereka sudah 100 peratus untuk menjadi juara, jadi harap-harap mereka kekalkan sehinggalah ke penghujung saingan.”

Menjelang aksi separuh akhir, beliau mengakui masih ada yang perlu diperbaiki dan menyerahkan perkara itu kepada ketua jurulatih.