Jadi atlet negara perlu banyak pengorbanan, ibu saya meninggal dunia ketika kejohanan di luar negara – Shakirin Ibrahim

340

Bekas pemain ping pong kebangsaan, Muhd Shakirin Ibrahim mengakui menjadi atlet yang mewakili negara di peringkat antarabangsa memerlukan banyak pengorbanan lebih-lebih lagi masa bersama keluarga.

Beliau mendedahkan pernah tidak dapat hadir ke majlis pengebumian ibunya yang meninggal dunia ketika beliau menyertai kejohanan antarabangsa.


“Dah tentu antara perkara yang pahit adalah pengorbanan yang terpaksan dilakukan, terpaksa tinggalkan keluarga dan rakan-rakan. Ketika arwah ibu saya meninggal dunia saya menyertai kejohanan Asia di Pulau Jeju, Korea Selatan.

Ada satu masa itu apabila saya dapat mata rakan sepasukan saya tidak bersorak, saya rasa pelik kerana kebiasaannya kita akan bersorak untuk rakan sepasukan. Selepas perlawanan itu barulah pengurus pasukan beritahu bahawa ibu saya telah meninggal dunia,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Shakirin, ketika itu tiket untuk pulang ke Malaysia dengan segera tiada jadi beliau terpaksa menunggu sehingga 24 jam sebelum dapat pulang.

Apabila tiba di Malaysia, beliau berkata bahawa ibunya telah pun dikebumikan.

Walaubagaimanapun, beliau berkata pengorbanan yang dilalui itu membuatkan dirinya menjadi  seorang atlet yang lebih matang.

“Kalau cerita pasal raya lagilah banyak kali tak dapat raya bersama dengan keluarga kerana berada di luar negara.

Tetapi  bagi saya dalam pahit ada manisnya, kerana pengalaman itu semua membuatkan saya menjadi lebih matang.”

Sementara itu, beliau turut berkongsi pengalaman manisnya sepanjang karier sebagai pemain iaitu menyumbang pingat untuk negara dalam setiap edisi Sukan SEA.

Katanya, sejak pertama kali mewakili negara ketika Sukan SEA 2005 di Manila, Filipina beliau tidak pernah ketinggalan menyumbang sekurang-kurangnya satu pingat pada setiap temasya.

Dalam pada itu, beliau berkata berkata perkara utama yang beliau terkilan tidak dapat capai sepanjang kariernya adalah untuk mewakili negara ke Sukan Olimpik.

“Apabila kita cuba, cuba dan cuba, kita akan sasar untuk mencuba di pentas tertinggi dan ia adalah Sukan Olimpik.

Tanyalah sesiapa pun mereka pasti mahu layak ke Olimpik, lebih-lebih lagi dalam sukan yang kita belum pernah layak lagi.”

Menurut Shakirin, kali terakhir beliau main pada kelayakan Olimpik, beliau tewas pada pusingan kedua.

Katanya, beliau ketika itu sedar bahawa ia adalah percubaan terakhirnya untuk ke temasya sukan terbesar dunia itu.