Keadaan padang yang lecak susahkan kami bermain bola sepak normal – Tan Cheng Hoe

269

Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe menyifatkan keadaan padang yang bertakung dengan air akibat hujan lebat menyebabkan pasukannya tidak dapat bermain gaya bola sepak yang normal seperti yang selalu mereka mainkan ketika menentang Sri Pahang FC sebentar tadi.

Menurutnya, pemain terpaksa mengubah corak permainan kerana bola tidak dapat bergerak dengan lancar akibat takungan air.


“Cuaca hujan serta keadaan padang membuatkan kita sukar bermain bola sepak normal selama kira-kira 25 ke 30 minit perlawanan.

Tetapi kita tak mahu jadikan ia sebagai satu alasan, kita tetap teruskan bermain sehinggalah berjaya menjaringkan gol melalui set piece,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika perlawanan Liga Super di Stadium MBPJ yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri 1-1.

Beliau berkata, setiap pasukan yang turun menentang Selangor mempunyai motivasi yang tinggi untuk bermain justeru pasukannya perlu bersedia dan fokus sehingga tamat perlawanan.

Sementara itu, Cheng Hoe menegaskan bahawa beliau tidak bimbang dengan pemain sayap, Faisal Halim yang masih belum menjaringkan gol selepas tiga perlawanan.

“Kita tahu Faisal pada musim lepas banyak jaringkan gol, tetapi buat masa ini beliau masih sesuaikan diri dengan corak permainan pasukan.

Namun beliau tetap mempunyai sumbangan kepada pasukan termasuk bantuan jaringan, jadi ia juga patut dipuji dan saya yakin dengan kualiti yang dimiliki olehnya.”

Dalam pada itu, beliau berkata bahawa dua pemain kebangsaan, Khuzaimi Piee dan V Ruventhiran yang menyertai pasukan itu pada musim ini akan mendapat peluang mereka kelak.

Katanya, beliau masih tidak terburu-buru untuk menukar kesebelasan utamanya setakat ini kerana mereka bermain dengan baik.