Azmeer Yusof, Ustaz Ebit Lew dalam dunia bola sepak
Peminat bola sepak sangat mengenali dengan Azmeer Yusof yang sebelum ini telah mengejutkan ramai apabila mengambil keputusan untuk bersara dari dunia bola sepak ketika pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) ketika itu berdepan masalah gaji.
Azmeer bagaimanapun tampil menyangkal dakwaan kononnya beliau bersara kerana masalah gaji, sebaliknya beliau ambil keputusan menamatkan kontraknya lebih awal kerana mahu mencari keberkatan dalam hidup.
Sejak bersara, pemain pertahanan kental ini tidak mendiamkan diri sebaliknya beliau semakin aktif melibatkan diri dalam aktiviti kemanusiaan dan kebajikkan selain menguruskan perniagaannya.
Mungkin ramai ketika itu tidak tahu Azmeer sebenarnya sudah lama terlibat dengan aktiviti amal namun beliau tidak pernah hebahkan perkara itu, tetapi selepas bersara beliau mula menghebahkan kepada mereka yang memerlukan bantuan.
Azmeer bukan sahaja membantu mereka yang dalam kesusahan sahaja, sebaliknya turut membuka peluang pekerjaan kepada anak muda menerusi perniagaan kedai gunting rambutnya yang mana golongan warga emas dan kurang upaya tidak dikenakan bayaran.
Keuntungan yang diperolehi dari perniagaan akan digunakan untuk membayar gaji Ustaz dan Ustazah yang mengajar di kelas mengajinya. Azmeer telah membuka kelas mengaji kepada sesiapa sahaja ingin mendalami Al-Quran secara percuma.
Sebenarnya terlalu banyak kerja amal dan kebajikkan yang dibuat oleh Azmeer menerusi keuntungan yang diperolehi menerusi perniagaan-perniagaannya.
Jadi tidak keterlaluan untuk menganggap beliau merupakan antara pemain bola sepak yang paling disayangi peminat, terutamanya di kalangan penyokong Kedah.
Dalam pada itu, walaupun sebelum ini sudah mengumumkan persaraannya dari dunia bola sepak, tetapi cintanya terhadap bola sepak terus membara dan membuatkannya mahu kembali beraksi di padang secara percuma. Impiannya akhirnya tercapai juga apabila kelab bola sepak Liga M3 iaitu BRM FC berminat dan telah mengambilnya sebagai pemain kelab itu.
“Misi dan visi BRM FC membuatkan saya nak bermain semula. Tambahan pula kesungguhan yang ditunjukkan oleh CEO dan pengurus pasukan yang sanggup datang dari Kuala Kangsar ke Bukit Jelutong untuk tengok saya bermain bola secara senyap-senyap.
Selain itu keputusan untuk kembali beraksi di padang adalah untuk anak kedua saya, Nur Marissa Sofea. Dia yang berusia dua tahun sering bertanya ‘dulu papa main bola ka’. Dia tidak sempat melihat saya bermain bola sepak. Ini membuatkan saya ingin bermain bola sepak semula,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menurut Azmeer, beliau yang menandatangani kontrak selama setahun bersama kelab itu mahu main secara percuma tetapi CEO BRM FC tidak mahu guna khidmatnya secara percuma.
Sementara itu, Azmeer yang pernah menjadi salah seorang pemain pertahanan terbaik di Liga Super sebelum ini tidak merasakan dirinya seperti ‘turun pangkat’ apabila ambil keputusan untuk main di Liga M3.
“Saya harus jujur dengan diri saya. Selama setahun saya tidak bermain bola sepak secara kompetitif. Jadi biarlah saya bermula dari bawah. Saya sebenarnya tidak pernah main di Liga M3, jadi saya ingin rasa pengalaman dalam perebutan menjadi juara Liga M3.”
Bercakap mengenai persiapannya dari segi fizikal dan mental, Azmeer berkata dia tiada masalah dari segi itu kerana sejak bersara beliau masih lagi bermain bola sepak bersama beberapa pasukan kecil dan dari situ beliau mengekalkan tahap kecergasan.
Selain mahu bawa pasukan barunya menjulang piala Liga M3, Azmeer juga mahu bawa pasukan BRM FC dikenali di seluruh Malaysia.