Endrick Dos Santos mampu jadi senjata baru Harimau Malaya?
Selamat ulangtahun kelahiran, Endrick! Dari kami di Harimau Malaya.
Perancang tengah berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Endrick Dos Santos menyambut hari kelahirannya pada hari ini (Selasa) dengan hadiah paling istimewa buat Harimau Selatan.
Ia selepas pemain kelahiran Brazil itu berjaya meledak gol ketujuh buat JDT pada minit ke-73 ketika aksi menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi yang menyaksikan mereka berjaya menang besar 7-0.
Endrick memulakan aksi cemerlang bersama JDT dengan gol pertamanya dalam aksi kedua Liga Super ketika menentang KL City FC di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu lalu yang menyaksikan mereka menang 3-0.
Selain dilihat mampu memperkuatkan lagi benteng skuad kendalian Estaban Solari sekaligus mahu mengekalkan rekod bersih tanpa kalah untuk musim ini, Endrick juga dilihat bakal menjadi antara senjata utama buat Harimau Selatan sepanjang kempen Liga Super 2023.
Sebelum ini, khabar angin perpindahan pemain itu ke kelab berpengkalan di Selatan juga sempat bertiup kencang sebelum beliau secara rasminya diumumkan sebagai pemain naturalisasi baharu JDT pada Januari tahun ini.
Terdahulu, ketika menyarung jersi Penang FC pada musim lalu menyaksikan beliau telah menjaringkan lima gol dan 17 bantuan gol dalam 37 penampilan dalam kesemua kejohanan bersama skuad Harimau Kumbang.
Beliau yang pada mulanya beraksi dengan cukup cemerlang berjaya menambat hati penyokong dan menjadi tonggak utama, namun prestasinya secara tiba-tiba merudum dan mengalami kecederaan sehingga tidak dapat diturunkan pada perlawanan separuh akhir Piala FA menentang JDT.
Bagaimanapun prestasi beliau ketika ini bersama juara sembilan kali Liga Super sangat bagus dan jika beliau terus konsisten, Endrick mungkin mampu diserap ke dalam pasukan kebangsaan untuk memperkuat pasukan menjelang kejohanan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung pada Januari 2024.
Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon bakal berdepan ‘masalah gembira’ apabila beliau kini mempunyai ramai pemain-pemain berkualiti untuk dipilih bagi membentuk skuad terbaik.
Skuad negara akan mengharungi beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa termasuk kejohanan Pestabola Merdeka yang akan menjadi medan buat Pan-gon menguji barisan pemain terbaik yang akan disenarai pendek sebelum dibawa ke Qatar.
Dengan kehadiran pemain naturalisasi baru, mungkin pengendali dari Korea Selatan itu akan memberi peluang kepada Endrick menyarung jersi pasukan kebangsaan untuk menilai tahap kemampuannya bersama skuad negara.
Adakah kita akan melihat Endrick menyarung jersi Harimau Malaya pada perlawanan persahabatan hujung Mac ini? Sama-sama kita tunggu.