Hannah Yeoh jamin bekas atlet OKU tidak akan dianaktiri

124

Baru-baru ini Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) bersama Genting Malaysia Berhad (GENM) dan Akademi Hospitaliti DHS.

Perjanjian ini akan menyaksikan bekas-bekas atlet yang berdaftar di bawah Yakeb akan mendapat peluang pekerjaan di mana mereka akan diberi kursus jangka pendek dalam bidang hospitaliti.


Ia merupakan satu inisiatif yang cukup baik bagi membantu bekas-bekas atlet yang sebelum ini berdepan kesukaran untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas bersara dari dunia sukan.

Bagaimanapun perjanjian tersebut hanya membabitkan bekas atlet ‘normal’ dan bukannya bekas atlet OKU (Orang Kurang Upaya).

Menteri KBS, YB Hannah Yeoh bagaimanapun telah memberi jaminan pihaknya tidak akan mengabaikan kebajikan bekas atlet OKU dan akan berusaha untuk membantu.

“Untuk bekas atlet OKU buat masa ini bila saya pergi Townhall dengan atlet saya tidak mendengar masalah mengenai mereka selepas bersara, tetapi saya ada dengar dari media.

Jadi saya akan teruskan lagi engagement dengan mereka (bekas atlet OKU) untuk mendengar cabaran mereka dan bagaimana kita boleh bagi peluang sama rata atau peluang lain untuk mereka,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, Hannah ditemui ketika melakukan lawatan untuk menyaksikan sesi latihan skuad Malayan Tigress B-20 yang akan terbang ke Kemboja untuk menghadapi kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2024 bermula 8 Mac ini.

“Ini kali pertama saya bersama mereka untuk latihan dan mendengar cabaran pasukan wanita dan saya mahu dalam lima tahun ini usaha pembaikan dari segi instrastuktur dan peruntukan untuk bantu mereka.

Yang paling penting mereka diberi peluang untuk menunjukkan prestasi dan kemahiran mereka supaya bola sepak dan wanita ini tampak sinonim. Kita mahu buang stereotaip yang mengatakan bola sepak tak sesuai dengan wanita.”

Tambahnya lagi, bersempena dengan Hari Wanita yang akan disambut esok pada 8 Mac, beliau mahu memaklumkan kepada semua wanita di Malaysia bahawa mereka perlu diberi peluang untuk berjaya dalam bola sepak.