Lauren beri bayangan mungkin tidak dapat bermain pada perlawanan pertama kelayakan Piala Asia Wanita B-20

412

Pemain pertahanan pasukan kebangsaan wanita B-20, Lauren Hoh Ruyi memberi bayangan beliau mungkin tidak akan diturunkan pada perlawanan pertama kelayakan Piala Asia Wanita B-20 menentang Kemboja kerana masih belum pulih sepenuhnya dari kecederaan.

Menurut Lauren, beliau mengalami kecederaan hamstring berkata fokusnya kini adalah untuk proses pemulihan supaya beliau dapat kembali cergas secepat mungkin.


“Saya mengalami kecederaan hamstring dan perkara ini adalah normal dalam dunia bola sepak, tapi apa yang saya boleh buat adalah fokus untuk proses pemulihan untuk kembali cergas 100%.

Sekarang ini saya belum pasti akan diturunkan dalam perlawanan pertama atau tidak. Kita tengok pada sesi latihan nanti kerana keputusan untuk menurunkan pemain adalah dari ketua jurulatih (Cameron Ng),”

katanya kepada Harimau Malaya.

Skuad Malayan Tigress akan membuka tirai kelayakan dalam Kumpulan G menentang tuan rumah Kemboja pada 10 Mac ini sebelum menentang Myanmar pada 12 Mac.

Lauren berkata perbezaan fizikal tidak akan menjadi masalah buat beliau dan rakan sepasukan kerana majoriti pemain dari Asia Tenggara mempunyai fizikal yang hampir sama.

Dalam pada itu, beliau juga melihat perlawanan kelayakan Piala Asia adalah peluang terbaik buat mereka untuk menentang dengan antara pasukan terbaik di Asia Tenggara.

“Saya rasa ia adalah kejohanan yang baik kerana ia sangat kompetitif. Ia adalah peluang terbaik untuk kami bermain dengan antara pasukan terbaik di Asia Tenggara, pada masa sama kita mahu layak.”

Sasaran skuad negara adalah untuk menjadi juara kumpulan untuk layak ke pusingan kedua kelayakan Piala Asia Wanita B-20 yang akan berlangsung pada 3 hingga 11 Jun 2023.