Tia Theseira akan guna pengalaman beraksi di luar negara untuk bantu Malayan Tigress di kelayakan Piala Asia Wanita B-20

717

Penyerang pasukan kebangsaan wanita B-20, Tia Theseira memberitahu beliau akan mengguna dan menerapkan pengalamannya beraksi di luar negara untuk bantu skuad Malayan Tigress capai kejayaan pada kelayakan Piala Asia Wanita B-20.

Beliau yang berpengkalan di Endicott University Madrid, Sepanyol menjadi antara salah seorang pemain Malaysia di luar negara yang dipanggil untuk memperkuat pasukan.


“Apabila saya beraksi di luar negara saya peroleh banyak pengalaman jadi saya teruja untuk bawa pengalaman yang saya pelajari ke dalam pasukan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tia mengakui beliau pada mulanya berdepan sedikit kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan, namun selepas beberapa bersama keserasian antara mereka mula terbina.

Ia dibuktikan apabila skuad kendalian Cameron Ng telah mempamerkan aksi yang baik ketika mereka menewaskan Mongolia 3-0 dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau juga tidak melihat perbezaan fizikal akan menjadi kekurangan buat mereka kerana skuad negara mempunyai ramai pemain yang mempunyai skil yang tinggi.

“Ia tidak akan menjadi isu kerana kita mempunyai ramai pemain berskil tinggi. Jadi saya percaya kita juga sebuah pasukan yang bagus.”

Malayan Tigress akan membuka tirai kempen kelayakan Kumpulan G pada 10 Mac ini menentang Kemboja sebelum menentang Myanmar pada 12 Mac.