Walaupun kami masih belum sempurna, tapi pasukan dalam keadaan terbaik – Kanchenjeet Kaur

347

Pemain pasukan kebangsaan wanita B-20, Kanchenjeet Kaur mengakui pasukan masih belum sempurna 100% tetapi beliau akui mereka berada dalam keadaan terbaik bagi menghadapi kelayakan Piala Asia Wanita B-20.

Menurut Kanchenjeet atau lebih mesra dengan panggilan Kanchen, beliau dan rakan sepasukan pada mulanya sedikit bergelut untuk memahami kehendak ketua jurulatih Cameron Ng.


“Pada mulanya memang sukar untuk kami faham apa yang ketua jurulatih nak, tapi selepas berlatih selama dua minggu bersama kami sudah semakin bagus, walaupun kami masih belum sempurna, tapi pasukan dalam keadaan terbaik,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Kanchen mampu bermain di beberapa posisi seperti penyerang, tengah dan untuk pasukan kebangsaan beliau telah diletakkan di bahagian pertahanan.

“Saya mahu buktikan diri saya mampu bermain di banyak posisi kerana saya bermula dengan posisi penyerang tetapi kini bermain di posisi pertahanan, malah saya juga boleh bermain di bahagian tengah.”

Dalam pada itu, beliau juga mendedahkan bahawa ketua jurulatih meletakkan keutamaan kepada tahap kecergasan dan stamina yang mana mereka dengan taktikal menekan atau intensiti tinggi.

Malah beliau turut memberitahu sebelum mereka berlatih di padang, kesemua pemain perlu menjalani program latihan kecergasan yang mana setiap pemain perlu pastikan mempunyai stamina tinggi.

Skuad negara telah mengharungi beberapa perlawanan persahabatan termasuk menentang Mongolia baru-baru ini yang menyaksikan mereka berjaya menang 3-0.

Sementara itu, beliau meletak sasaran untuk layak ke pusingan kedua kelayakan Piala Asia Wanita B-20 yang akan berlangsung pada 3 hingga 11 Jun 2023 nanti.

Untuk pusingan kelayakan pertama, skuad negara akan membuka tirai dalam Kumpulan G pada 10 Mac ini menentang Kemboja sebelum menentang Myanmar pada 12 Mac.