Azurin Mazlan nasihat supaya dengar cakap jurulatih dan buat yang terbaik untuk negara – Nur Qistina

219

Penjaga gol pasukan kebangsaan wanita B-20, Nur Qistina Zulkafli berkata beliau akan memegang kata-kata daripada penjaga gol kebangsaan Azurin Mazlan untuk bermain mati-matian untuk negara.

“Beliau (Azurin) nasihat saya untuk sentiasa buat apa yang telah dipelajari dan mengikut cakap serta taktikal yang telah diterapkan oleh ketua jurulatih (Cameron Ng). Pada masa sama kita perlu pamer aksi cemerlang buat negara,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Qistina merupakan salah seorang daripada 23 pemain yang telah terpilih untuk memperkuat skuad Malayan Tigress bagi menghadapi kelayakan Piala Asia Wanita B-20 di Kemboja.


Skuad negara yang diundi dalam Kumpulan G akan membuka kempen kelayakan dengan menentang Kemboja pada 10 Mac dan Myanmar pada 12 Mac.

Dalam pada itu, walaupun Qistina sering menjadi pilihan sebagai penjaga gol utama, namun beliau tidak melihat perkara itu sebagai jaminan posisi tersebut sudah selamat, sebaliknya beliau perlu terus bersaing bagi memastikan dirinya menjadi pilihan.

“Bagi saya persaingan untuk posisi penjaga gol sangat sengit kerana ia hanya memerlukan seorang penjaga gol jadi saya perlu sentiasa pamer aksi terbaik supaya dapat disenarai dalam kesebelasan utama.”

Qistina merupakan salah seorang daripada 11 pemain dari Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) yang terpilih mengakui mereka tidak memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri dan mendapat keserasian dengan pemain-pemain lain yang turut berada dalam skuad.

Sementara itu, beliau turut menyuarakan keyakinannya terhadap kemampuan skuad Malayan Tigress dan berkata mereka mampu layak ke pusingan kedua kelayakan sekaligus mahu membuktikan bola sepak wanita negara juga mampu pergi lebih jauh di peringkat antarabangsa.