Victoria Valerie Boudeville sokong Tia Theseira tukar minat sukan dari gimnastik ke bola sepak

326

Ibu kepada penyerang pasukan kebangsaan wanita B-20 Tia Theseira iaitu Victoria Valerie Boudeville memberitahu beliau akan sentiasa menyokong penuh minat anaknya dalam sukan bola sepak.

Victoria berkata demikian kerana sebelum anaknya bergelar pemain bola sepak, Tia merupakan atlet gimnastik untuk Negeri Sembilan.


“Beliau (Tia) merupakan atlet gimnastik sebelum ini yang mana beliau mewakili Negeri Sembilan dan sempat bertanding di temasya SUKMA 2017. Ketika itu beliau turut bermain bola sepak.

Tetapi beliau ambil keputusan untuk berhenti gimnastik dan teruskan dengan sukan bola sepak kerana mempunyai rakan-rakan yang turut sama bermain bola, jadi beliau berasa sangat bermotivasi untuk bermain bola sepak,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, beliau sangat teruja dan bangga apabila anaknya terpilih untuk menyarung jersi Malayan Tigress bagi menghadapi kelayakan Piala Asia Wanita B-20 yang akan bermula dari 8 Mac ini di Kemboja.

“Saya sangat bangga dengannya kerana dapat balik untuk bermain dengan negara kerana ia memang impiannya untuk mewakili Malaysia.”

Dalam pada itu, beliau juga menyeru ibu bapa di luar sana untuk sentiasa memberi sokongan penuh sekiranya anak mereka menunjukkan minat untuk bermain apa sahaja jenis sukan.

Jelasnya lagi, bola sepak kini bukan lagi sukan yang didominasi oleh lelaki tetapi kini semakin ramai golongan wanita yang turut meminati bola sepak.

“Bagi saya bola sepak adalah satu sukan yang universal kerana semua orang tonton dan sangat suka tonton bola sepak, golongan wanita juga sama. Saya rasa kita perlu mereka beri peluang untuk melihat tahap minat mereka dalam dunia bola sepak.”

Sementara itu, beliau turut memberitahu selepas selesai kelayakan Piala Asia Wanita B-20, anaknya akan pulang ke Sepanyol untuk meneruskan pengajian dan karier bola sepaknya di sana.

Tia antara salah seorang pemain yang berpengkalan di luar negara yang dipanggil oleh ketua jurulatih Cameron Ng untuk memperkuatkan pasukan.

“Beliau akan kembali Sepanyol nanti kerana beliau juga bermain di liga sana, dan berkemungkinan akan terus kekal lagi empat tahun untuk pengajian universiti.

Jadi saya harap sepanjang tempoh tersebut beliau akan menimba banyak ilmu dan pengalaman dan bawa pulang ke tanah air nanti.”