Guna ‘toyol’ rahsia kejayaan penjaga gol Penang FC ‘tendang’ Kedah Darul Aman FC dari Piala FA

1,620

Pertemuan sengit antara Penang FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA) pada aksi Piala FA semalam berlangsung dengan cukup dramatik lagi apabila perlawanan terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terika 2-2 sehingga tamat masa tambahan.

Shafiq Afifi telah menjadi wira buat skuad Harimau Kumbang apabila dua sepakan penalti yang berjaya diselamatkannya telah berjaya ‘menendang’ Sang Kenari dari saingan Piala FA.


Namun, apa yang menarik perhatian adalah apabila penjaga gol berusia 24 tahun itu dilihat menggunakan ‘toyol’ sebagai senjata rahsia untuk menghadiahkan kemenangan buat Penang dengan keputusan 4-3 menerusi sepakan penalti.

Melalui satu gambar yang tular di media sosial semalam telah memaparkan Shafiq menunjukkan sport tape pada pergelangan tangannya yang tertera beberapa nama pemain Kedah antaranya seperti Ott, Lee Tuck, dan Hidalgo.

Nama-nama pemain Kedah itu merupakan antara pemain yang diramal akan membuat sepakan penalti dan dimana pemain itu akan menyepak bola dan dua tekaannya tepat selepas menyelamatkan sepakan dari Lee Tuck dan Bojan Ciger.

Ternyata kerja keras yang dilakukan oleh beliau termasuk membuat ‘ulang kaji’ terhadap pemain-pemain lawan telah membuahkan hasil.

Tindakan yang hampir sama ini juga pernah dilakukan oleh penjaga gol Norwich City FC, Tim Krul di mana beliau telah menulis nama pemain lawan yang akan membuat sepakan penalti pada botol minumannya.

Sebelum itu, kubu pertahanan Penang telah dirobek oleh Manuel Ott sebanyak dua kali berturut-turut pada minit ke-9 dan ke-90.

Dua gol Penang pula dijaringkan oleh Giovane Gomes pada minit ke-21′ dan penyerang sensasi mereka Soony Saad pada minit ke-68′.

Sementara itu, kejayaan Shafiq itu telah memperlihatkan potensi besar yang ada pada beliau dan sekiranya terus diberi kepercayaan sebagai penjaga gol utama, tidak mustahil satu hari nanti beliau mampu menyarung jersi Harimau Malaya.

Terdahulu, beliau membuat debutnya dalam saingan Liga Malaysia bersama pasukan Perak FC musim lalu.

Walaupun kurang mendapat tempat, namun Penang dapat menghidu potensi besar yang ada pada beliau dan ternyata percaturan mereka membuahkan hasil.