Melihat pada perlawanan Kemboja semalam, ia akan jadi cabaran yang baik buat kami – Cameron Ng

162

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan wanita B-20, Cameron Ng menjangka pasukan Kemboja akan memberi cabaran yang baik buat pemain-pemainnya menjelang perlawanan pertama skuad negara kelayakan Piala Asia Wanita B-20.

Cameron berkata demikian selepas menyaksikan aksi pasukan Kemboja ketika menentang Myanmar walaupun tuan rumah tewas 2-0.


“Bagi saya Kemboja bermain dengan baik terutamanya pada separuh masa pertama yang mana formasi bagus termasuk mereka bermain dengan taktikal yang sudah dirancang.

Perlawanan esok menentang mereka akan memberi cabaran yang baik buat kami,”

katanya.

Tambahnya lagi, perlawanan esok akan menjadi lebih menarik lagi berikutan pasukan lawan akan bermain di tempat sendiri dengan sokongan ribuan penyokong yang akan memberi sokongan padu buat mereka.

Mengakui corak permainan yang ditampilkan oleh pemain Kemboja sangat baik, dan kini tugas beliau dan barisan kejurulatihannya akan membuat analisis untuk menerapkan taktikal terbaik untuk perlawanan esok.

“Saya dapat lihat mereka cuba melakukan perkara yang betul dengan membina perlawanan dari belakang. Tapi kini tugas saya adalah untuk memikirkan bagaimana untuk tewaskan Kemboja untuk dapatkan keputusan positif.”

Dalam pada itu, ketua pasukan Amirah Rahman pula berkata walaupun mereka hanya sempat berlatih dua minggu tetapi beliau dan rakan sepasukan sudah bersedia.

“Walaupun kami hanya sempat berlatih dalam tempoh dua minggu, tapi kesemua pemain telah memperlihatkan keserasian yang baik. Esok kami akan berikan aksi terbaik kami menentang Kemboja.”

Skuad Malayan Tigress akan membuka tirai kempen dalam Kumpulan G esok menentang Kemboja sebelum menentang Myanmar pada 12 Mac.

Jika berjaya menang dalam kedua-dua perlawanan, mereka akan layak ke pusingan kedua kelayakan yang akan berlangsung dari 3 hingga 11 Jun depan.