Simbol protes antikerajaan Myanmar, adakah Zaw Min akan dikenakan tindakan?
Perlawanan pusingan pertama Piala FA di antara Kedah Darul Aman FC (KDA) dan Penang FC cukup dramatik apabila perlawanan itu diheret sehingga ke penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas tamat masa tambahan.
Aksi yang cukup dramatik itu menyaksikan skuad Harimau Kumbang berjaya benam Sang Kenari selepas mereka berjaya menang 4-3 dalam penentuan penalti.
Namun, apa yang menarik perhatian adalah gelagat pemain import baharu Penang, Zaw Min Tun telah melakukan satu tindakan yang kurang ‘menyenangkan’ selepas berjaya membuat sepakan penalti pertama pasukannya.
Tindakan itu merupakan isyarat tiga jari tangan yang dilakukan Zaw Min sebagai simbol protes antikerajaan ekoran krisis politik yang berlaku di Myanmar.
Perampasan tampuk pemerintahan di Myanmar oleh junta sudah berlaku sejak tahun 2021 itu telah mengorbankan ribuan nyawa.
Walaubagaimanapun, tindakan yang dilakukan Zaw Min itu tidak sepatutnya berlaku terutamanya ketika dalam perlawanan bola sepak.
Hakikatnya, pemain bek tengah Penang itu sebenarnya telah melanggar Artikel 59 dalam Kod Tatatertib FAM yang melarang ‘gerak isyarat atau bahasa yang menyinggung perasaan’ kerana ‘tidak sportif’.
Sebelum ini, rakan senegaranya Hein Htet Aung yang ketika itu merupakan pemain sayap Selangor FC II juga pernah membuat simbol yang sama selepas menjaringkan gol pada perlawanan Liga Perdana Malaysia 2021.
Akibatnya tindakan itu, pemain itu telah digantung satu perlawanan dan tidak dapat diturunkan ketika menentang Perak FC II serta diberi amaran dan jika dia meneruskannya, hukuman yang lebih berat akan menantinya.
Persoalannya, adakah Zaw Min akan dikenakan tindakan yang sama seperti Hein Htet Aung?
Apa-apa tindakan yang berbaur politik adalah tidak dibenarkan di atas padang bola sepak dan sekiranya ia berlaku tindakan perlu diambil oleh pihak yang bertanggungjawab.
Hal ini bagi memastikan bola sepak negara tidak dicemari dengan isu-isu politik yang bukan sahaja akan menunjukkan sikap tidak profesional dan rasional mereka di atas padang tetapi juga akan menimbulkan masalah yang mungkin boleh menjejaskan kerjaya mereka dalam arena bola sepak Malaysia.