Rasa tercabar Indonesia ada wakil di kejohanan dunia, harap Malaysia mampu ke Olimpik dalam sukan papan selaju – Hafiz Abdul Halim

264

Pemain papan selaju, Hafiz Abdul Halim mahu melihat arena sukan ekstrem di negara ini dapat meningkat setaraf dengan negara-negara jiran seperti Indonesia.

Beliau berharap Malaysia juga dapat melahirkan atlet yang mewakili negara ke kejohanan dunia seperti Indonesia, dan dapat melahirkan lebih ramai pemain berkelas dunia.


“Saya rasa agak tercabar dengan Indonesia kerana mereka ada wakil yang bermain di kejohanan dunia dan Street League Skateboarding di Amerika Syarikat.

Kita tiada wakil yang berada di luar negara walaupun kita boleh dikatakan antara negara yang mula-mula bermain sukan ini di Asia,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Apek berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat memberi sokongan kepada komuniti sukan ekstrem terutama dari segi dana untuk ke kejohanan luar negara.

Tambah Apek, beliau melihat sukan ini semakin diterima dalam masyarakat dengan kini ramai golongan muda dari umur sekolah rendah sudah melibatkan diri.

“Kita tak minta banyak dari KBS, cuma jika kita perlu ke luar negara untuk sertai kejohanan antarabangsa harap KBS dapat bantu dari segi dana atau pengangkutan.

Selain itu, dari segi pendedahan kita lihat negara-negara seperti Thailand dan Indonesia juga turut menayangkan sukan ini di kaca televisyen.”

Sementara itu, beliau memasang impian untuk mewakili negara pada Sukan Olimpik satu hari nanti.