Perang psikologi antara penyokong Kelantan FC & JDT bermula menjelang pertemuan di SSI Sabtu ini!

1,095

Saingan Liga Super musim ini menjadi menarik apabila pada Sabtu ini akan menyaksikan perlawanan tumpuan di antara juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Kelantan FC yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Umum mengetahui kedua-dua pasukan ini mempunyai sejarah perseteruan, namun sudah lama kedua-dua pasukan ini tidak berentap bersama untuk saingan liga selepas Kelantan beraksi di Liga Perdana untuk beberapa musim.


Perseteruan antara kedua-dua pasukan ini bukan sekadar di atas padang sahaja, tetapi ia juga membabitkan perseteruan di antara penyokong kedua-dua pasukan terutamanya di media sosial.

Selepas JDT berjaya membelasah Negeri Sembilan FC 7-0 baru-baru ini, ada penyokong kelab dari Pantai Timur itu mempersoal kemenangan itu yang mendakwa kemenangan besar itu berjaya diperolehi kerana pasukan Harimau Selatan dibarisi ramai pemain import dan naturalisasi.

Malah pada perlawanan tersebut, skuad Harimau Selatan itu hanya menurunkan dua pemain tempatan dalam kesebelasan utama.

Ada juga segelintir penyokong yang mendakwa JDT terlalu bergantung kepada pemain import dan naturalisasi sekaligus menutup ruang dan peluang untuk pemain tempatan.

Susulan itu, mereka telah melontarkan cabaran buat pasukan JDT untuk menurunkan skuad yang dibarisi oleh pemain tempatan pada perlawanan Liga Super hujung minggu ini.

Cabaran tersebut telah mendapat pelbagai reaksi terutamanya dari penyokong JDT yang membidas cabaran tersebut.

Walaupun di media sosial ketika ini kecoh dengan perbalahan di antara peminat, ia bukan sesuatu yang membimbangkan kerana perang psikologi ini sedikit sebanyak dalam memberi hype untuk perlawanan tersebut sekaligus dapat menarik lebih ramai penyokong ke stadium.

Biarpun prestasi skuad The Red Warrior ketika ini masih belum berada di tahap memuaskan, namun ramai penyokong yang percaya pasukan kesayangan mereka mampu memberikan cabaran yang sengit buat juara Liga Super sembilan kali berturut-turut.

‘Pantang berundur sebelum berjuang’! Itulah ungkapan penyokong Kelantan dan pastinya anak-anak buah Choi Moon-sik juga mempunyai perasaan yang sama iaitu akan memberikan aksi terbaik mereka bagi memastikan mereka tidak pulang dengan tangan kosong.

Diharap perlawanan pada hujung minggu ini akan berlangsung dengan lancar dengan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi menarik untuk tatapan penyokong.

Diharap juga tiada insiden yang tidak diingini berlaku kelak kerana apa sahaja keputusan, semua harus terima dengan hati yang terbuka.