Kerajaan negeri boleh terima tawaran geran tukar rumput tapi kelab harus tanggung kos penyelenggaran sebelum dan selepas
Sejak beberapa hari ini dunia bola sepak tanah air kecoh dengan isu rumput Zeon Zoysia selepas Menteri Belia Dan Sukan (KBS), YB Hannah Yeoh memberitahu pihaknya ada menawarkan geran untuk setiap negeri menukar rumput padang kepada rumput lebih berkualiti.
Hannah dalam kenyataannya bagaimanapun memberi bayangan seperti beberapa negeri yang mungkin tidak akan menerima geran tersebut kerana tidak berkemampuan untuk menyelenggara.
Isu tersebut telah menjadi topik hangat di media sosial yang mana majoriti peminat mendesak kelab kesayangan masing-masing untuk menerima tawaran geran dari KBS.
Bagaimanapun Pengerusi Jawatankausa Perlancongan Seni dan Budaya, Belia dan Sukan Negeri Kedah, Mohd Firdaus Ahmad menyambut baik tawaran tersebut tetapi tertakluk kepada syarat bahawa geran menaik taraf perlu disediakan sepenuhnya oleh pihak kerajaan.
Ini kerana ketika ini tawaran dari KBS adalah hanya untuk kos rumput dan kos membuat penyelenggaran sebelum proses menanam rumput dan selepas perlu ditanggung oleh negeri.
Firdaus berkata pihak negeri tidak akan mengeluarkan wang untuk perkara itu kerana wang untuk penyelenggaran itu boleh digunakan untuk membina kediaman untuk orang miskin di negeri itu.
Menurut Mohd. Firdaus, keadaan rumput di Stadium Darul Aman masih dalam baik dan cadangan untuk mengeluarkan peruntukan awal daripada ‘kocek’ kerajaan negeri tidak bersesuaian dengan situasi ekonomi ketika ini. pic.twitter.com/eLqfcE7Wb5
— Malayantigerfans (@Malayantigerfan) March 10, 2023
Kenyataan Firdaus ada asas kukuh kerana wang dari pembayar cukai sepatutnya digunakan untuk rakyat dan bukannya digunakan untuk sesuatu sukan yang tidak menyumbang pendapatan kepada rakyat.
Bagaimanapun perkara ini boleh diselesaikan dengan rumput padang ditukar kepada baru tetapi kos-kos penyelenggaran perlu ditanggung oleh kelab yang menggunakan stadium tersebut.
Sebagai contoh, kelab bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA) menggunakan Stadium Darul Aman sebagai home mereka yang mana stadium tersebut disewa dari Perbadanan Stadium Negeri Kedah (PSNK).
Ketika ini kerja-kerja penyelenggaran dilakukan oleh PSNK dengan KDA sebagai penyewa akan membayar sewa kepada PSNK, tetapi terma perjanjian sewa boleh diubah bagi memastikan kedua-dua pihak dapat menikmati situasi ‘menang-menang’.
Antara solusi mudah adalah kerajaan negeri boleh memajak stadium kepada KDA untuk satu tempoh yang dipersetujui yang mana segala urusan penyelenggaran, naik taraf akan dilakukan oleh pihak kelab.
Oleh itu, pemilik stadium tidak perlu mengeluarkan sebarang kos untuk penyelenggaran dan sebagainya, sebaliknya akan mendapat wang sewaan (keuntungan) bersih.
Pihak kelab pula akan dibenarkan untuk menjana pendapatan menerusi stadium yang diuruskan oleh mereka menerusi beberapa perniagaan yang mereka boleh usahakan seperti sewakan kedai di sekeliling perkarangan stadium, sewa tapak penjaja termasuk menyewa stadium kepada pihak yang ingin menggunakan stadium.
Cara ini sudah pun dilakukan oleh dua kelab bola sepak kerdil di Kemaman, Terengganu iaitu Real Chukai FC dan Kerteh FC yang menjalin kerjasama dengan majlis daerah dengan memajakkan stadium kepada pihak kelab dan pihak kelab akan bertanggungjawab terhadap penyelenggaran stadium termasuk menjana pendapatan sendiri.
Jika kelab kecil Real Chukai dan Kerteh mampu melakukan, mengapa kelab besar-besar yang mempunyai bajet puluhan juta setiap tahun tidak melakukan perkara sama? Apa yang menjadi penghalang?
Dalam pada itu, cara yang disebutkan mungkin mudah untuk direalisasikan di majoriti negeri kerana stadium utama hanya digunakan oleh sebuah kelab bola sepak sahaja.
Bagaimanapun untuk stadium yang digunakan oleh beberapa pasukan sebagai contoh Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras di mana ia menjadi home kepada KL City FC, PDRM FC dan KL Rovers FC (Liga M3), cara tersebut mungkin sedikit rumit.
Namun apa sahaja masalah atau kesulitan pasti ada jalan penyelesaiannya, oleh itu setiap pihak perlu duduk semeja untuk berbincang untuk mencari solusi terbaik untuk kebaikan bersama.
Inisiatif yang dilakukan oleh KBS adalah satu inisiatif yang cukup baik kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada kelab-kelab terlibat sahaja tetapi juga akan memberi manfaat kepada pasukan kebangsaan Malaysia.
Bak kata pepatah, ‘Nak seribu daya, tak nak seribu dalih’! Diharap semua pihak dapat melihat inisiatif dari sudut positif.