Larangan bawa lebih 1 bass drum & 1 snare drum! Beri kelebihan buat tuan rumah atau tak ‘gentle’?
Ketika saingan Liga Super menjadi semakin meriah, peminat bola sepak dikejutkan pula dengan tindakan dua pasukan Penang FC dan Negeri Sembilan FC yang mengumumkan satu pengumuman baru yang menimbulkan pelbagai reaksi.
Kedua-dua pasukan itu telah mengeluarkan arahan kepada penyokong lawan hanya dibenarkan untuk membawa masuk satu bass drum dan satu snare drum sahaja apabila masuk ke Stadium Bandraya Pulau Pinang dan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Negeri Sembilan.
Susulan arahan terbaru itu, para petugas stadium nanti akan melakukan pemeriksaan dan berhak untuk menghalang dan melarang kemasukan penyokong ke stadium sekiranya peraturan itu gagal atau tidak dipenuhi.
Ada yang bersetuju dengan tindakan kelab masing-masing kerana menganggap tindakan tersebut akan memberi kelebihan buat tuan rumah.
Namun ada juga segelintir peminat yang menyifatkan peraturan tersebut sebagai tak ‘gentle’ atau tak berani kerana bimbang sorakan penyokong lawan lebih meriah seolah-olah pasukan lawan bermain di tempat sendiri walaupun mereka sebenarnya bermain di tempat lawan.
Mungkin ramai yang mempersoalkan peraturan baru kedua-dua pasukan Penang dan Negeri Sembilan ini, tapi ia sebenarnya bukan peraturan baru kerana bagi yang kerap pergi ke perlawanan di tempat lawan pastinya tahu dengan larangan-larangan yang dikenakan kepada penyokong pelawat.
Cuma apa yang membuatkan ramai yang tidak tahu adalah kerana ia tidak dinyatakan di media sosial seperti yang dilakukan oleh kedua-dua pasukan ini.
Mungkin kedua-dua pasukan ini beranggapan bahawa dengan adanya peraturan ini ia akan memberi kelebihan buat mereka, jadi sebagai penyokong pelawat mereka perlu hormati keputusan tuan rumah.
Sama juga kepada penyokong Penang dan Negeri Sembilan, jika mereka bertandang ke stadium lawan mereka juga perlu ikut peraturan yang ditetapkan oleh pasukan tuan rumah.